"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sg Buaya: Kerajaan negeri sedia ambil alih

Kerajaan negeri Selangor akan memberi tempoh tiga bulan kepada mana-mana pemaju yang berminat untuk menyelesaikan masalah pembangunan terbengkalai di Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata demikian ketika berdialog dengan kira-kira 100 penduduk Kampung Sungai Buaya.

"Jika pemaju tidak melakukannya, satu langkah adalah supaya kerajaan negeri mengambil alih...dalam tiga bulan kita akan lihat laporannya, jika tidak memuaskan kita akan ambil alih,” katanya.

Janji itu dibuat kira-kira tiga jam sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijadualkan tiba untuk makan tenga hari dan menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran.

"Jangan tertipu dengan janji-janji mereka...jika BN beri wang, ambil saja tapi jangan menandatangani sebarang dokumen,” katanya.

Khalid berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan ketua kampung bagi menyediakan khidmat peguam bagi membantu penduduk.

Sebelum ini, peneroka dijanjikan RM1.2 juta bagi setiap mereka dengan bayaran dibuat antara tempoh 48 bulan apabila mereka menjual tanah mereka kepada pemaju ketika Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi menteri besar.

Peneroka di kawasan terbabit yang dulunya tanah rancangan Felda menuntut bayaran pampasan tanah yang dijanjikan pemaju yang gagal membangunkan kawasan itu sejak pertengahan 1990-an.

Peneroka sehingga hari ini hanya menerima RM250,000 selepas projek itu terbengkalai atas sebab-sebab tertentu termasuk krisis ekonomi pada 1997.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: