"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liwat II: Anwar kemuka rayuan qazaf

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang menolak permohonan qazafnya.

Beliau yang diiringi oleh peguam Ainiah Kamaruddin, tiba di mahkamah pada jam 10.05 pagi untuk menadatangani beberapa dokumen.

Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membatal permohonan Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Dengan perintah itu, Anwar tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 7 Januari lalu.

Selain Shamsuddin, Anwar turut menamakan dua lagi reponden - pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Jamil Khir.

Jamil dan dua responden tersebut telah memfailkan bantahan terhadap permohonan qazaf itu pada 9 Februari lalu.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: