"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adik Ah Jib dan Abang Ah Jib

Lim Hong Siang
“...Perdana Menteri sekarang, Abang Ah Jib, dulu ketika dia masih Adik Ah Jib, dia pun mari Jalan Sultan buat baju. Bapanya (mantan Perdana Menteri) Tun Razak pun datang ke sini untuk buat baju...” Demikianlah kisahnya, yang dikongsi oleh tauke Kedai Jahitan Kwong Fook Wing di Jalan Sultan.

Sudah lima keturunan kerabat Kwong berakar di Jalan Sultan, malah tiga tahun lagi kedai jahitannya bakal menyambut ulang tahun ke-100.
Khong Kim Lyew, generasi ketiga yang mewarisi kedai jahitan tersebut, tinggal di Jalan Sultan untuk lebih 64 tahun.

Hatinya bersama jiwanya terpaut di situ, luah tukang jahit ini. Kini, kedai yang bersejarah ini terpaksa gulung tikar, bukan kerana ketidak-mampuannya menguruskan perniagaan, tetapi diusir kerajaan atas nama “pembangunan”.

Maka jentolak dibenarkan masuk merobohkan tiang dan dinding nostalgia kita bersama tanpa secebis belas kasihan. Ia bakal digantikan dengan besi dan keluli moden yang tersergam – lambang kemegahan kita semua pada masa depan, kononnya.

Malah, jika Puduraya agak kekok buat mulut orang asing, ia sanggup ditukarkan kepada Pudu Sentral, agar mat saleh lebih senang untuk mengungkapkannya.

Demikianlan konsep kerajaan kita untuk menarik pelancong asing, memperkenalkan “Malaysia” kepada dunia luar.

Tidak cukup dengan itu, kita hapuskan cukai coli dan seluar dalam berjenama untuk membina syurga "beli-belah" di dunia.

Tanpa kita sedari bahawa Malaysia telah menjadi pusat beli-belah serbaneka di dunia, dengan hakim, polis dan menteri boleh dijual-beli dengan wang ringgit.

Rakaman perbualan bagaimana hakim dibeli peguam dan kroni tidak diharamkan sehingga hari ini.

Pendekatan untuk menarik pelancong dan pelabur asing sedemikian bukan sahaja memelikkan, tetapi membeliakkan. Ini kerana pengalaman saya melancong di Taiwan memberi gambaran sebaliknya. Bangunannya di ibu kota tidak semoden kita, malah kesan kunyahan zaman masih ditinggalkan di sesetengah bangunannya.

Kebanyakan lokasi pelancongan di Taipei bertemakan "jalan lama". Wajah asal jalan tersebut dikekalkan tanpa banyak pengubahsuaian, dan ia dihidupkan bukan dengan elektrik berkuasa tinggi, tetapi interaksi antara manusia dalam komuniti itu sendiri. Yang pasti wajah mereka tidak sedingin keluli dan besi. Kemesraan, tingkahlaku mereka yang beradab – menyuntik jiwa kepada masyarakat itu sendiri.

Saya sempat berkunjung ke bekas tapak perlombongan arang batu di situ. Tapak itu dikekalkan sungguhpun aktiviti perlombongan telah ditamatkan.

Dari cara mereka memperkenalkan tapak perlombongan ini kepada pelancong, saya dapat merasai penghargaan mereka terhadap pelombong-pelombong pada zaman itu.

Perlombongan arang batu yang menyalakan ekonomi Taiwan di peringkat awal, namun pada masa yang sama ramai yang terkorban kerana aktiviti ekonomi yang merbahaya ini. Di dinding terpapar tulisan yang jelas, “Kita tetap tidak lupa buat selamalamanya (pengorbanan bekas pelombong)!”

Saya tidak berniat membandingkan angka ekonomi Malaysia dengan Taiwan di sini, maklumlah, saingan kita kini Somalia, Zimbabwe dan sebagainya.

Namun, saya agak terharu dengan suasana budaya dan politik di masyarakat Taiwan.

Dalam kempen pilihan raya Presiden yang lalu, salah satu iklan kempen meluahkan, “...Anda tidak gentar dengan keperitan hidup, tetapi anda membenci ketidaksaksamaan. Anda tidak takut untuk rendah diri, tetapi berdendam dengan ketidak-adilan”

Tatkala rakyat Malaysia bangkit menentang kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, saya terbaca catatan seorang warga Malaysia, yang kini bekerja di Singapura.

Beliau berterima kasih kepada Barisan Nasional, kerana kerajaan inilah buat kali pertamanya semangat patriotik bergelora dalam jiwanya. Beliau bangga sebagai penduduk Sungai Siput kerana berjaya menumpaskan Samy Vellu dalam PRU12.

Kini, beliau begitu terharu melihat kebangkitan rakyat menentang Lynas dan kerajaan yang membuka pintu untuk Lynas.

Secara terus-terang beliau mengakui bahawa tidak sukar untuk dirinya mendapatkan status penduduk tetap di Singapura, tetapi beliau tetap menolaknya kerana hatinya masih terpaut di Malaysia.

Jikalau diberi peluang, saya agak yakin bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sanggup kembali ke tanah air dan mengharungi segala dugaan di masa depan bersama.

Di sini orang kampungnya peramah, di sini pantainya bersih dan indah, di sini gunungnya menghijau. Tiada gempa bumi, tiada taufan, tiada gunung berapi. Tuhan kurniakan kita dengan sumber semula jadi yang lumayan, tetapi kerajaan kita pula yang musnahkan segalagalanya - dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kita menyatakan hasrat untuk mengekalkan Jalan Sultan, namun kerajaan melenyekkan suara kita dengan jentolaknya. Kita luahkan suara kita untuk “Hancurkan Lynas”, namun kerajaan kita mempertahankannya dengan seribu satu daya dan dalih.

Saya tidak pasti sama ada ini langkah Najib ke arah pembinaan sebuah “negara demokrasi terbaik di dunia”. Namun, saya sangat pasti, bahawa BN sedang membina kemusnahan untuk masa depan Malaysia, dengan kilang Lynas di Kuantan.

Mungkin kita tidak perlu terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata. Cuma kita mengeluh, kerana adik Ah Jib yang dibawa ayahnya ke Kedai Jahitan Kwong Fook Wing di Jalan Sultan, kini telah menjadi abang Ah Jib yang membawa isterinya untuk membeli baju berjenama di Australia.

>> Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@ gmail.com

Tiada ulasan: