"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalah bicara mahkamah calar kredibiliti Umno

Mat Zain Mat Isa
Cerita betapa sewenang-wenangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno di Terengganu bertindak menamatkan perkhidmatan sejumlah penjawat awam yang dinilai sebagai penyokong parti lawan bukanlah berita baru.

Ia sudah dianggap lumrah sejak sekian lama dan boleh dikatakan turut berlaku secara menyeluruh di setiap negeri diperintah parti itu, termasuk Terengganu, walau pun dalam jumlah kes yang tidak besar.

Tindakan yang jelas bermotifkan politik itu bagaimana pun mencetuskan kegemparan umum apabila ia berlaku dalam skala agak besar sejurus berlakunya peralihan kuasa pemerintahan negeri Terengganu pada 2004 lalu. Sebilangan pegawai tadbir negeri yang dinilai condong atau menyokong PAS adalah antara yang menerima kesan paling awal.

Mereka ini sama ada diberikan pilihan untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan menerima bayaran pampasan, atau diwujudkan alasan munasabah sehingga mereka layak ditamatkan perkhidmatan dengan kerajaan negeri. Bahkan, ada juga yang walau pun dikekalkan dalam perkhidmatan, tetapi terpaksa melalui proses ‘sejuk beku’.

Turut menerima nasib serupa, walau pun dengan status perjawatan berbeza, ialah beberapa pengarah agensi atau pengerusi anak-anak syarikat kerajaan negeri. Ada yang diberikan notis penamatan kontrak perkhidmatan mereka dan ada yang terus sahaja tidak dibenarkan memasuki pejabat sebaik kerajaan negeri bertukar tangan. Malah ada juga yang dihalau keluar secara tidak beradab oleh para pemimpin Umno ketika masih meneruskan tugas di pejabat.

Menambahkan kegemparan atas tindakan rakus Umno itu ialah apabila mereka yang terlibat dengan pemberhentian khidmat itu ialah golongan yang banyak berinteraksi dengan masyarakat awam. Antara perjawatan yang sama ada dirombak atau ditamatkan serta-merta ialah ahli majlis pihak berkuasa tempatan, Jawatankuasa Masjid Mukim, Jawatankuasa Syura Rakyat, mubaligh-mubalighah, para asatizah dalam Unit Pembangunan Insan (UPI) dan sebilangan imam/bilal masjid mukim.

Para pemimpin dan penyokong Umno mungkin berhujah bahawa kesemua mereka ini, yang jumlahnya ratusan orang, adalah penjawat lantikan politik. Justeru, mereka tiada sebarang ikatan kukuh atau jaminan undang-undang dengan perjawatan kerajaan negeri.

Namun, seperkara yang tidak sepatutnya diambil mudah ialah betapa mereka ini jugalah sebenarnya kumpulan penggerak utama agenda pembangunan masyarakat, terutama dalam bab pembinaan insan. Kehilangan mereka akibat penamatan khidmat dalam keadaan serta-merta sememangnya menghasilkan ‘kejutan’ kepada masyarakat.

Masyarakat bagaimana pun seakan menerima segala yang berlaku itu sebagai takdir politik. Bahkan, di kalangan mereka yang terlibat dengan pemecatan dan penamatan khidmat itu sendiri pun hampir tiada yang terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri pimpinan Umno. Isu itu akhirnya pudar dan semakin dilupakan masyarakat, termasuk di Terengganu.

Bagaimana pun, dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, 5 Mac lalu, yang memihak kepada seorang Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas, yang dipecat kerajaan Umno pada 2007, isu kerakusan tindakan kerajaan BN itu kembali menjadi bahan perbualan hangat. Malah, di kalangan para pendukung PAS dan pembangkang sendiri ada yang agak terkejut. Kata mereka, “oh, rupanya ada di kalangan pegawai yang dipecat memfailkan saman terhadap kerajaan Umno”.

Setelah lebih empat tahun berjuang menuntut haknya melalui proses mahkamah, akhirnya Wan Mohd Faizul, 37, yang dipecat oleh kerajaan BN pada 2007, mendapat pembelaan mahkamah. Hakim Mahkamah, Dato’ Mohd Yazid Mustafa memutuskan pemecatan Pegawai Tadbir Negeri N41 itu oleh Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Idris Jusoh dianggap ‘salah’ (wrongfull dismissal).

Ketika membaca keputusan tersebut, Mohd Yazid memerintahkan agar plaintif diambil semula sebagai Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 daripada tarikh penghakimannya dan pengesahan plaintif dalam jawatan tersebut tertakluk kepada Perintah Am.

Tanpa perlu menghurai dan memperincikan fakta kes tersebut, keputusan diumumkan itu sahaja pun sudah lebih dari cukup untuk dijadikan bukti betapa kerajaan dipimpin Umno itu sebenarnya bertindak tanpa merujuk kepada peruntukan undang-undang. Ia secara jelas mencalar kredibiliti Umno sebagai sebuah parti pemerintah, yang sepatutnya well-versed mengenai undang-undang.

Di satu sudut lain, ia menjadi faktor tambahan bagi rakyat untuk lebih membenci dan menolak Umno. Apatah lagi keputusan mahkamah itu berlaku dalam suasana seluruh negara sedang dilanda demam pilihan raya. Bahkan, Terengganu sendiri sebagai salah satu kubu kuat PAS, dilihat sangat berpotensi untuk sekali lagi mengalami perubahan teraju kepimpinannya.

Tiada ulasan: