Lim Hong Siang
Sukan Olimpik ke-30 telah membuka tirainya di London, menjadi tumpuan seluruh dunia. Inilah antara faktornya mengapa banyak negara berebut-rebut untuk menjadi penganjur Sukan Olimpik.
Semestinya sesebuah negara mahu menampilkan segala yang terbaik kepada masyarakat antarabangsa - barulah orang asing mampu mencemburui pencapaian kita, jika ikut hujah menteri kabinet Malaysia.
Maka untuk menarik perhatian dunia, Malaysia melakukan segala yang boleh, khususnya ketika zaman pemerintahan Mahathir Mohamad. Malah kita menjadi penganjur Sukan Komanwel pada tahun 1998. Dengan semangat "Malaysia Boleh", kita membina bangunan tertinggi, lapangan terbang terbesar di dunia. Sesetengah pula menarik keretapi dengan gigi hanya untuk memecah rekod dunia Guinness. Sateh terpanjang, burger terbesar, malah sekumpulan penuntut kolej pernah menghimpitkan diri ke dalam sebuah kereta Kancil untuk memecah rekod dunia.
Rakyat Malaysia menjadi bangsa yang serba boleh. Kita nampak gah dengan rekod yang dipecah, ditambah pula kadar pertumbuhan ekonomi yang melonjak sebelum kemelut pada tahun 1997, menjadikan kita bermegah sebagai rakyat Malaysia. Namun pada masa yang sama, kenyataan kerajaan membuatkan Malaysia kelihatan rapuh. Apabila krisis ekonomi melanda kita menyalahkan penyangak mata wang George Soros; apabila rakyat bangkit menentang rasuah, kroni dan nepotisme amalan pemimpin Malaysia, kita dituduh sebagai alat negara asing. Malah apabila gejala sosial menular di kalangan remaja kita, kita terus menuding jari kepada anasir Barat yang menyusup masuk untuk mencemarkan budaya kita, tanpa kajian yang teliti.
Fenomena yang agak menarik di sini. Tatkala kita berhempas pulas untuk menarik tumpuan asing, "pihak asing" jugalah yang sentiasa dijadikan musuh. Kita menagih tepukan dan pujian asing, misalnya Najib Razak semestinya mahu gambar dirinya berjabat tangan dengan Barack Obama terpampang di ruang dada media, pada masa yang sama, apabila Amerika Syarikat mengkritik rekod hak asasi manusia di Malaysia, ia dianggap agenda Barat yang "berniat jahat". Di mana letaknya kayu ukur kita, apabila kita mengalu-alukan pujian pihak asing, tetapi menolak kritikannya?
Sesungguhnya semangat "Malaysia Boleh" telah menyuntik keyakinan kepada generasi Malaysia. Namun pada hemat saya "keyakinan" sedemikian terlalu rapuh. Kita disuntik dengan kebencian dan permusuhan terhadap pihak asing, agar kita bersatu di bawah payung UMNO-Barisan Nasional untuk menentang "musuh di luar sana". Kita jadikan "musuh asing" sebagai sasaran, dan melakukan segala yang boleh untuk melepasi mereka - meskipun apa yang dilakukan mungkin tidak diminati, ataupun tidak masuk akal untuk mereka. Apa megahnya untuk menarik sebuah lori dengan rambut, sedangkan stadium kita boleh runtuh tanpa berlakunya gempa bumi?
Seolah-olah apa yang dilakukan adalah demi orang asing. Saya masih ingat betapa seramnya apabila Najib ketika menyandang jawatan Menteri Pelajaran melarang ahli akademik daripada mengeluarkan kenyataan berhubung indeks pencemaran udara, semasa jerebu melanda Malaysia beberapa tahun dahulu, kerana dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan. Antara kesihatan rakyat dengan pelancong asing, siapa didahulukan?
Untuk saya ia cukup berbahaya. Apa yang akan terjadi seandainya kita hidup tanpa "orang asing"? Kepada siapa kita sandarkan kebanggaan kita? Kepada siapa kita lepaskan rasa dendam kita? Kita menyorok segala yang tidak elok dari pandangan orang asing, sementara meniup semangat diri dengan rekod-rekod yang tak tentu pasal. Persoalannya, Malaysia wujud untuk siapa?
Bulan Mei yang lalu saya telah menyertai satu rombongan ke Berlin untuk "mengenali Jerman". Program ini dianjurkan International Media Alliance (IMA) dengan sokongan Kementerian Luar Negeri Jerman. Sepanjang program ini, kami dibawa untuk berjumpa dengan aktivis hak asasi, penduduk setinggan, pengamal media alternatif, peserta demonstrasi dan sebagainya, selain pihak penguasa, polis, penggubal dasar dan lain-lain. Maklumlah, golongan yang turun demonstrasi, pada biasanya tidak puas hati terhadap pihak kerajaan. Mereka akan mengutuk kerajaan Jerman, merungut bagaimana pembangunan komersial merampas ruang awam mereka dan sebagainya. Namun, kerajaan Jerman langsung tidak bermasalah dengan itu. Mereka hanya berlepas tangan untuk kita diatur agar dipertemukan golongan yang tidak menyenangi kerajaan.
Saya cuba bayangkan, seandainya kerajaan Malaysia juga menganjurkan program sebegini, ke mana agaknya rombongan itu akan dibawa? Semestinya bukan ke Bukit Koman yang kini dicemari Cyanide, atau Kampung Berembang yang penduduknya diusir dan rumah mereka dirobohkan. Rombongan warga asing itu sudah tentu akan dibawa untuk ditunjukkan betapa megahnya Putrajaya dan KLCC yang tersergam.
Rombongan tersebut menyedarkan saya bahawa sesebuah negara tetap akan berdepan dengan pelbagai masalah sungguhpun telah tergolong sebagai negara maju, menghormati hak asasi, dengan tahap demokrasi yang matang. Jerman tidak sempurna. Kesediaan kerajaan Jerman mengakui dan menerima ketidaksempurnaan ini menjadikan Jerman bangsa yang terkagum. Mereka dengan yakin dan jujur menampilkan wajah sebenarnya kepada orang asing.
Apa lagi yang harus saya katakan, melihat kepada negara sendiri yang mana logo Hari Kemerdekaan pun dia nak main tipu?
*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan