G MANIMARAN & JAMILAH HAMZAH
"Hampir 37 tahun kita ditipu, kini mereka sudah mengaku. Dan kita rakyat Kelantan bukan tidak percaya tetapi kami tidak berapa nak percaya." Demikian entri satu blog yang mengulas perkembangan hari ini.
Kelantan sedar dan membawa pertikaian royalti minyak sejak lapan tahun lalu.
Pada Januari 2010, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya - tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.
Hari ini beliau kelihatan gembira dengan berita menerima surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berunding mengenai isu tersebut menerusi satu jawatankuasa khas.
Selepas satu siri 'tarik tali' sejak satu tempoh yang agak lama, perkembangan yang didengar banyak pihak hari ini sesuatu yang agak mengejutkan - lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat.
Rata-rata penganalisis melihat persetujuan Putrajaya untuk membincangkan isu royalti minyak dengan Kerajaan Negeri Kelantan dengan lebih komprehensif dilihat sebagai satu cara terbaik mengukuhkan perpaduan orang Melayu semakin berpecah selain bertujuan melakukan pembangunan di negeri itu, sekali gus memancing pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, rundingan yang akan dilakukan oleh Najib bersama kerajaan negeri Kelantan bakal membawa perubahan kepada rakyat negeri itu dari segi pembangunan dan sosioekonomi.
Menurutnya, Kelantan yang dilihat sedikit mundur berbanding dengan negeri lain di Malaysia akan lebih membangun sekiranya royalti minyak itu diberi secara betul kepada kerajaan negeri dan rakyat membuka ruang khususnya pengundi atas pagar memilih kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
"Jika rundingan itu berlaku dan perjanjian dibuat oleh kerajaan pusat dan negeri Kelantan mengenai isu royalti minyak, rakyat akan menerima tempias dalam ekonomi terutamanya pembangunan sekali gus membantu menarik pengundi atas pagar memilih BN.
"Serba sedikit rakyat akan buang perasaan tak senang yang anggap Umno lakukan penganiayaan serta penindasan dilakukan oleh kaum Melayu sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.
Dalam pengumumannya, Nik Abdul Aziz memberitahu bahawa Najib telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan dan cadangan itu turut diterima baik oleh pemimpin Pas yang lain.
Berdasarkan kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
"Jawatankuasa khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr .Jayum Anak Jawan juga sependapat dengan Azizuddin.
Katanya, pemberian royalti minyak yang lebih komprenhensif kepada negeri Kelantan bakal menjana ekonomi negeri serta membantu dalam proses pembangunan.
Katanya, rundingan ini juga akan memberi kesan kepada rakyat Kelantan untuk lebih terbuka dan menerima parti politik yang lain selain Pas di negeri itu.
"Rundingan ini patut diteruskan supaya penerimaan royalti minyak di negeri-negeri pengeluar minyak lebih menerima pulangannya lebih komprehensif.
"Pulangan atau royalti bakal membangunkan ekonomi di Kelantan lantas membawa perubahan tanggapan sebahagian rakyat terhadap BN dan mungkin mereka akan lebih terbuka," katanya.
Prof Datuk Dr Zainal Kling, seorang lagi Ahli Majlis Profesor Negara berkata, rundingan yang bakal dilakukan oleh Presiden Umno itu adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang semakin meruncing.
Menurutnya, perundingan antara kedua parti Pas dan Umno bakal membawa perubahan kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam terutama institusi kesultanan yang menjadi liabiliti kaum Melayu untuk terus bersatu.
"Kalau betul rundingan itu akan dilakukan, saya yakin perpaduan kaum Melayu dapat diwujudkan kembali seperti dahulu dimana ada seorang pemimpin yang mengawal semua orang Melayu.
"Ia juga mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dari segi kedudukan parti dan sokongan rakyat di Malaysia," katanya.
Zainal berkata perkara ini akan memberi sedikit kesan kepada kedudukan Umno di Kelantan yang dilihat rakyatnya lebih menyokong Pas.
Pas Kelantan telah mula membuat tuntutan royalti berdasarkan suratcara 1975 Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Bagaimanapun ia tidak berhasil kerana peruntukan perundangan yang jelas menidakkan hak Kelantan.
Pemblog Kickdefella, yang pernah bertugas dengan Datuk Husam Musa, iaitu pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Kelantan, berkata, walaupun intipati surat Perdana Menter kepada Menteri Besar Kelantan itu masih belum diketahui dengan jelas, namun begitu berdasarkan kegembiraan Nik Aziz, penduduk negeri Kelantan keseluruhannya boleh merasa yakin bahawa kemelut ini akhirnya menampakkan titik penyelesaian.
"Pujian harus diberikan kepada anak-anak muda Kelantan, termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mesra Pas kerana terus menerus menghidupkan isu ini walaupun menerusi kaedah yang kurang sesuai.
"Seperti kata Nik Aziz, ‘sedikit sebanyak ini adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada ALLAH agar (isu ini) diselesaikan segera’," katanya lagi.
Beliau juga berkata, diharap tidak ada pihak yang akan mengecilkan peranan sesiapa sekalipun di dalam soal ini.
Rata-rata pemimpin dan pengikut Pas khususnya dari Kelantan gembira dengan perkembangan hari ini. Pun begitu, BN khususnya Umno dilihat mengharapkan kegembiraan yang bersandarkan keputusan PRU13 kelak dengan pendirian Putrajaya khususnya pentadbiran Najib.
Bila BN akan gembira agaknya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan