"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Impak negatif cukai eksais kereta import

Shirzad Lifeboat
‘Protectionism’ atau ‘dasar perlindungan ekonomi’ terhadap produk/industri sesebuah negara adakalanya perlu bagi melindungi ekonomi. Namun protectionism keterlaluan hanya mengakibatkan kebekuan/kebantutan sesuatu industri, penghasilan produk berkualiti rendah serta penetapan harga tinggi.

Kesan dasar perlindungan keterlaluan kepada industri automotif negara ini bermatlamat, bukan sekadar melindungi jualan kereta nasional tetapi mewujudkan persaingan tidak adil terhadap kereta import terlihat jelas kepada kereta buatan Malaysia.

Bukan sahaja tidak berinovasi tinggi tetapi prestasi Proton Holdings Berhad yang menghasilkan kereta Proton terus pudar dari satu tahun fiskal kepada satu fiskal lain. (Menurut laporan dari Bernama, Proton Holdings Berhad telah mencatatkan kerugian pracukai yang meningkat kepada RM84.054 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Dis, 2011 berbanding kerugian pracukai RM51.535 juta dalam tempoh yang sama 2010.)

Mudah sahaja untuk difahami. Tanpa dana yang mencukupi untuk R&D, tanpa insentif yang sesuai, tentulah sukar untuk menghasilkan sebuah kereta berinovasi tinggi yang dapat menarik minat pelanggan.

Tentang kualiti pula, sehingga hari ini Proton masih tidak dapat dieksport ke Amerika Syarikat kerana gagal menepati piawan teknikal untuk kereta import negara tersebut sedangkan pendatang baru industri automobil Asia seperti Hyundai, Kia, Daewoo sudahpun memberikan saingan sengit kepada kereta import dan juga kereta buatan tempatan di seluruh Amerika Utara.

Walaupun kawalan piawaian teknikal tinggi dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap kereta import ini boleh dianggap sebagai satu protectionism namun ia bukanlah bagi melindungi industri automotif negara tersebut (yang dalam masa lima dekad terakhir ini terus mengalami keadaan yo-yo), dan bukan juga kerana kerajaan mereka mahu ‘mencari makan’ menerusi cukai eksais yang kadarnya tidak masuk akal, tetapi kerana mahu melindungi pengguna daripada memberi produk yang berisiko keselamatan tinggi.

Begitu juga dengan penetapan harga jualan. Tidak ada rakyat Malaysia hari ini yang mengatakan kereta Proton dijual dengan harga murah dan merupakan kereta mampu dimiliki oleh setiap golongan rakyat.

Oleh itu, lontaran idea dan matlamat Pakatan Rakyat untuk menghapus atau setidak-tidak mengurangkan cukai eksais pada kadar tidak masuk akal bagi kereta import akan sekaligus menghapuskan dasar perlindungan keterlaluan industri automotif negara dan dalam pada itu memberikan kesan positif baik dari segi prestasi Proton Holdings Berhad sebagai sebuah syarikat pengeluar kereta dan juga ke arah peningkatan pelbagai model kereta Proton di masa depan.

Begitupun, penstrukturan cukai eksais bagi kereta luar negara yang diimport ke dalam Malaysia bukanlah semata-mata bertujuan melindungi Proton. Ramai penganalisis ekonomi berpendapat ia adalah antara cara bagi kerajaan di bawah pentadbiran BN memperolehi hasil lumayan dari kutipan cukai eksais berkenaan. Dan kesan negatif dari dasar ini yang telah mengakibatkan harta kereta Proton melonjak naik dari masa ke masa memberikan gambaran seolah-olah rakyat terhutang kehidupan dengan syarikat pembuat kereta nasional itu sehingga perlu membelanjakan wang lebih dari sepatutnya bagi memberikan subsidi kepada Proton.

Mungkin berdasarkan pertimbangan serupa inilah yang menyebabkan ada pertubuhan sewaktu dengan BN menyanggah idea Pakatan Rakyat untuk menghapuskan cukai eksais ke atas kereta import ini. Ada pula yang mengatakan kerajaan atau mereka akan kerugian sehingga RM 7 bilion sekiranya idea tersebut dilaksanakan. Segelintir pula mengatakan ramai yang akan kehilangan pekerjaan (seolah-olah industri penjualan/pengimportan kereta luar negara merupakan industri teras bagi ekonomi negara).

Tidaklah dapat dipastikan dari manakah angka sebanyak RM7 bilion ini dicipta. Tetapi sekira itulah nilai ekonomi industri kereta import, maka jumlah cukai eksais yang dipungut oleh kerajaan tentulah berganda-ganda lagi.

Maka tidak hairanlah sekiranya kerajaan BN terpaksa menggunakan ‘kuku dan gigi’ bagi mempertahankan struktur duti eksais kereta import digunakan selama ini (walaupun terpaksa meninggalkan kesan yang buruk terhadap industri automotif tempatan, membebankan rakyat yang mahu membeli kereta berkenaan dan menyempit pilihan pengguna).

Seorang aktivis politik Amerika kurang ternama, cucu kepada Presiden Woodrow Wilson dan penentang lantang Perang Vietnam serta mengejutkan rakyat kulit putih Amerika Syarikat apabila menyertai perjuangan rakyat kulit hitam Amerika, Martin Luther King Jr. pernah memberi amaran ketika beliau menjadi Pesuruhjaya Tinggi Amerika Syarikat ke Filipinan. Frances B. Sayre mengingatkan: “Dasar perlindungan keterlaluan adalah ibarat tabiat penagihan dadah. Negara-negara yang berseronok dengan tabiat ini terjebak dari satu tahap keterlaluan kepada satu tahap keterlaluan; dan seleranya sentiasa bertambah. Nasionalisme ekonomi dan protectionisme mengakibatkan porak peranda keapda dunia dan negara terlibat.”

Tidakkah ini yang sedang kita saksikan berlaku di negara kita kini?

Tiada ulasan: