"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu seru kuningkan ambang Merdeka

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menyeru semua pihak memakai baju kuning dan keluar bersantai beramai-ramai di Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos ini.
"Bukan tunjuk perasaan. NGO akan adakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka dengan keluar bersantai sambil pakai baju kuning.

"Kita semua meriahkan sambutan Merdeka dan keluar bersantai pakai baju kuning di Dataran Merdeka.

"Bukan tunjuk perasaan... (tetapi) bersantai pakai baju kuning," katanya dalam ceramahnya di sini malam tadi.

Khamis lalu, sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan akan mengadakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka untuk mengingatkan kerajaan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk A Samad Said berkata, program yang dinamakan "Janji Bersih" itu akan menyaksikan pesertanya memakai pakaian kuning sebagai lambang perjuangan menuntut reformasi sistem pilihan raya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai program tersebut selepas ceramahnya itu, Mohamad berharap rakyat akan menjadikan sambutan Hari Merdeka tahun ini sebagai yang paling meriah dan bersejarah.

"Kita tidak menunjuk perasaan. Kita sambut Hari Merdeka bersama-sama rakyat yang berkumpul di Dataran Merdeka pada malam itu.

"Kalau ada pun perbezaan, slogan NGO yang meminta kita sambut Merdeka pakai baju kuning itu hanya berbeza satu perkataan sahaja dengan slogan yang digunakan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan Umno BN guna slogan 'Janji Ditepati', NGO tersebut guna slogan 'Janji Bersih'," katanya sambil menekankan bahawa tidak ada undang-undang yang mengharamkan rakyat keluar bersantai memakai baju kuning.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menggesa NGO berkenaan agar tidak "mempolitikkan" sambutan ambang merdeka dengan turut sama di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Menjawab gesaan polis itu, A Samad berkata, program "Janji Bersih" pada 31 Ogos di Dataran Merdeka berhasrat menuntut janji reformasi pilihan raya dan bukannya berniat mempolitikkan sambutan kemerdekaan.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bagi polis melarang rakyat memakai baju berwarna kuning.

"Sepatutnya tiada halangan apa-apa baju pun orang nak pakai apatah lagi kuning bukan warna haram," tegas beliau.

Tiada ulasan: