"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi pemimpin Sabah keluar BN, sertai APS

Masdar Wahid
KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Sokongan rakyat Sabah terhadap Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred Bumburing terus menggegarkan politik negeri itu apabila ramai lagi pemimpin BN mengikut jejaknya menyokong Pakatan Rakyat.

Terbaru, John Hussein meletak semua jawatan sebagai ahli Parti Bersatu Sabah (PBS-BN) dan ketua kampung bagi kawasan Kiulu dalam Parlimen Tuaran.

Menurut beliau, notis 30 hari diserah kepada partinya dan kerajaan negeri sejak 1 Ogos lalu.

John turut meletak jawatan Ketua PBS Cawangan Kampung Simpangan Lama dan Naib Pengerusi PBS Bahagian Kiulu dan kini menyertai APS.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Wilfred bahawa sistem penyampaian BN gagal memenuhi matlamat yang dikehendaki rakyat.

“Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu mengambil masa yang sangat lama untuk dilaksanakan dan kini pembinaannya terus terhenti tanpa penjelasan munabasabah,” kata John dalam satu kenyataan.

Beliau akan bekerjasama dengan dua bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Tuaran, Lesaya Lopog Sorudim dan Daukim Gilu untuk membentuk dan menggerakkan APS Bahagian Kiulu.

Sebelum ini, Naib Presiden Upko yang juga Senator Datuk Maijol Mahap; Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi, Denis Gimpah dan Petrus Guriting turut mengisytihar keluar BN bersama Wilfred pada 29 Julai lalu.

Wilfred merupakan Ahli Parlimen Tuaran, bekas Timbalan Presiden Upko, Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan bekas Pengerusi BN Tuaran.

APS adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam Sabah bagi menyokong Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Wilfred memulakan jelajahnya sejak 1 Ogos lalu dengan menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Parlimen Keningau yang diwakili Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin mewakili kedua-dua kawasan itu sejak 1976 hingga kini dengan beliau ketika ini turut menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah.

1 ulasan:

Hafizzudin Pendang berkata...

united malay duduk tak senang bro..hahaha www.anakkedah.com