"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Sasar 18 Parlimen: Sindrom Cuak Hantui UMNO Johor?

Blog Ibn75.wordpress.com
KENYATAAN demi kenyataan cuba dipatahkan oleh sebahagian pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) berhubung isu penambahan kepada 18 kerusi Parlimen yang disebut-sebut bakal bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat (PR) telah menimbulkan satu persepsi bahawa UMNO kini berdepan dengan ‘sindrom’ kecuakan.
Terbaru, penyandang bagi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed merupakan individu yang paling ketara menyerlahkan kegusarannya itu apabila menyatakan hasrat pembangkang untuk bertanding di 18 kerusi Parlimen di negeri ini sebagai angan-angan kosong.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan Pakatan Rakyat (PR) untuk menambah bilangan wakil-wakil rakyatnya hanya sekadar menaikkan semangat pengikut mereka menurut dhamir hati manusia yang bernama Jazlan .

Mengapa tidak, di Parlimen itu dikatakan yang Jazlan bakal menerima kejutan dengan cabaran untuk meraih undi apabila kawasannya itu dikategorikan sebagai yang dipanggil pengundi campuran.

Daripada 56 Parlimen di Johor, Pulai tersenarai dalam kawasan kritikal buat UMNO kerana anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat itu perlu akur dengan sentimen dan mood masyarakat Cina yang inginkan perubahan disebabkan komuniti itu berjumlah melebih 40 peratus dan ini boleh sahaja menyumbang kejatuhan BN.

Meskipun pada Pilihan raya Umum (PRU) 12, Johor masih berstigma kubu kuat UMNO, dengan pergerakan undi kaum Cina hanya sekitar 40 – 45 peratus keseluruhannya, namun kini ‘mood’ sokongan sudah berbeza.

Disamping itu, di Gelang Patah pula menghadapi masalah yang serupa. Ini boleh dikuatkan dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang pernah mentakwilkan mimpi bahawa pembangkang boleh memberikan sentuhan kecundang buat BN gara-gara ‘tersasul’ mengeluarkan kenyataan yang mana Parlimen itu harus dipertahankan dengan serius.

Ataupun BN terlupa dengan satu ledakan dari krisis yang membabitkan kepimpinan pemuda UMNO negeri sekaligus menghakis reputasi mereka di mata rakyat Johor.

Seperti yang didakwa Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Johor bahawa terdapat kepimpinan UMNO negeri yang mendesak ketua Pemudanya Mohd Fadil Muskon meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada individu lain untuk menyandangnya.

Akhirnya, kemelut yang dihadapi ini cuba ditamatkan dengan perlantikan Zulkarnain Kamisan bagaimanapun ia belum cukup meyakinkan banyak pihak yang beranggapan bahawa pemimpin muda mereka dikatakan bermasalah.

Apapun kita akan lihat siapakah yang berangan-angan atau bermimpi. Dengan menjadikan rakyat sebagai hakim pada PRU nanti, diharapkan ia akan mengadili ketelusan dan kesungguhan parti-parti siasah bagi menaikkan taraf kehidupan mereka agar lebih terarah dan hidup harmoni disebalik konflik dan kemelut yang pelbagai.

Bagaimanapun, adalah disaran agar BN wajar menerima hakikat dan realiti bahawa mimpi untuk mengekalkan jolokan kubu kuat mereka benar-benar tidak mampu dipertahankan disebalik perkembangan yang berpihak kepada PR kini.

Tiada ulasan: