BUDAYA hedonisme merupakan antara faktor yang banyak menyongsang akhlak dan peribadi anak muda. Sedangkan golongan ini merupakan tonggak utama dalam memacu pembangunan negara. Berikut kupasan daripada Ahli Parlimen Belia Negeri Perak dari Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat Dan Kesihatan, Nur Najihah Muhaimin yang juga Koordinator Pusat Pendidikan Ummah, Teluk Intan.
HARAKAH: Budaya hedonisme menyebabkan akhlak anak muda tidak dapat dikawal. Sejauh mana kawalan kerajaan bagi membendung budaya ini daripada terus menjalar?
NUR NAJIHAH MUHAIMIN: Budaya hedonisme agak merisaukan. Hasil daripada budaya ini, jangan terkejut dengan kelakuan gadis pada konsert K-Pop. Maknanya jika kita hendak membina sesebuah negara itu kita memerlukan kualiti berdasarkan agama. Banyak hiburan yang telah malampaui batasan yang menyebabkan ada anak muda tidak tahu apa yang dia boleh buat untuk negaranya.
Bagi yang menyedari adanya Parlimen Belia, dia akan menyertainya. Bagi saya, sepatutnya sedari awal semangat kesukarelawan juga harus dipupuk. Jika di United Kingdom, ia mempunyai sistem pendidikan yang menekankan semangat kesukarelawan, terjun kepada masyarakat. Sewaktu tadika lagi kita dapat lihat kanak-kanak tadika memegang 'flyers' untuk kempen alam sekitar di hadapan rumah pemimpin negara. Sedikit sebanyak ia dapat mendidik kanak-kanak semangat sukarelawan.
Kerajaan juga nampaknya cuba untuk mengajak masyarakat ke arah positif apabila menganjurkan program-program seperti Malam Cinta Rasul. Tetapi masa yang sama konsert-konsert juga dibenarkan. Sejak 2010, tidak kurang 11 konsert K-Pop diadakan di Malaysia tidak termasuk konsert artis Barat yang lain. Sampai bilakah kecelaruan ini akan berterusan?
Kita meraikan mereka yang meminati hiburan, cuma kita kena fikirkan kesan hiburan itu pada masa akan datang. Adakah melalui hiburan itu ia boleh menghasilkan pemimpin yang bagus atau menghasilkan rakyat yang inginkan hiburan semata-mata. Mungkin kerajaan boleh hadkan konsert yang boleh diadakan setiap tahun dan kena tengok juga artis itu bagaimana.
Garis panduan yang tegas juga perlu diberikan kepada artis yang terlibat. Sebagai contoh konsert K-Pop. Mungkin mereka tidak faham budaya di Malaysia dan mungkin tidak tahu Islam itu bagaimana. Begitu juga orang yang menganjurkan konsert itu mungkin hanya fikirkan keuntungan semata-mata. Kita perlu ada 'back up' perancangan. Ia supaya pada masa akan datang perkara-perkara seperti ini dapat dielakkan.
Wajarkah pengaruh sosial yang berlaku itu diletakkan kesalahan terhadap anak muda itu sendiri?
Kesalahan tidak boleh diletakkan kepada anak muda. Sebenarnya keseluruhan masyarakat memainkan peranan. Kalau kita hendak anak yang baik, kita pilih pasangan yang baik. Begitu juga, di sebalik anak muda ini siapa? Tentunya pemimpin negara, pemimpin keluarga dan pemimpin masyarakat.
Kenapa anak muda jadi seperti ini. Kita tengok balik latar belakangnya. Sebagai masyarakat, guru dan kawan kepada mereka, kita juga tidak harus menuding jari. Kita yang kena gerakkan enjin, bukan hanya jadi tukang komplen. Siapa yang akan turun padang dan siapa yang akan dekati anak muda ini? Siapa yang sanggup jumpa remaja-remaja perempuan yang dipeluk bintang K-Pop itu? Jangan kita hanya menyalahkannya tetapi kita tidak berusaha mencari jalan penyelesaian.
-harakahdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan