"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anugerahkan gelaran Tun kepada Nik Aziz - Bekas Menteri

Abdul Kadir Sheikh Fadzir
Kita bersyukur kepada Allah YBhg Tuan Guru Datuk Seri Hj Nik Aziz, bekas menteri besar Kelantan pulih dari penyakitnya.
Tidak dinafikan Tuan Guru Hj Nik Aziz seorang tokoh terkemuka negara kita. Beliau berjasa begitu lama pada negeri Kelantan sebagai ketua kerajaan. Secara langsung atau tidak langsung beliau juga menyumbang banyak khidmat bakti kepimpinan beliau juga kepada seluruh negara dan rakyat.

Beliau meletakkan jawatan selaku menteri besar bagi memberi laluan kepada orang lain. Tidak ada sebarang cacat celanya kepada kepimpinan beliau yang begitu lama itu.
Beliau juga memberi contoh yang begitu ketara sekali bagaimana seseorang yang sangat berkuasa juga boleh hidup dalam keadaan yang serba sederhana.

Beliau begitu menyedari tentang khazanah dan hak-hak kepunyaan rakyat. Penghidupan beliau penuh dengan contoh baik bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin politik negara tetapi juga kepada seluruh rakyat.

Oleh itu, saya mencadangkan pihak kerajaan dengan segera menganugerahkan gelaran “Tun” kepada beliau.

Perbezaan pandangan politik seharusnya tidak menjadi halangan kepada perkara ini. Perbezaan pandangan politik, biasanya, perbezaan pendapat tentang kaedah yang sebaik-baiknya untuk membawa kebahagiaan dan kerahmatan kepada rakyat dan negara. Dalam hal ini khidmat dan jasa Tuan Guru Hj Nik Aziz adalah begitu jelas sekali.

Saya penuh yakin seluruh negara, tidak kira apa pandangan politik masing-masing, akan menghormati dan menerima baik penganugerahan tersebut kepada beliau. –

* Penulis ialah mantan menteri kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan: