Shahbudin Husin
Jika ditanya ahli UMNO dan pemimpinnya di pelbagai peringkat sekarang ini tentang apakah yang membimbangkan mereka dalam menghadapi PRU 14 akan datang, jawapan yang paling banyak didengari tidak lain ialah karenah-karenah berkaitan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Bagi mereka inilah antara beban terbesar yang bakal menyukarkan lagi peluang UMNO menambah sokongan serta untuk menang dalam pilihanraya nanti.
Sejak 2009, sebaik Najib Razak mengambil alih teraju kelimpinan negara, topik perbualan mengenai Rosmah muncul satu demi satu tanpa hentinya, daripada kegemaran berbelanja barang mewah, membeli perhiasan, pembaziran, penggunaan jet hinggalah berpeluk, semuanya merupakan isu-isu yang kian merimaskan UMNO.
Jika di era pentadbiran sebelum ini isu berkaitan isteri Perdana Menteri tidak pernah berbangkit dan menjadi topik perbualan sama-sekali, sebaliknya ketika ini ia sudah menjadi sebahagian tugas ahli dan pemimpin UMNO pula untuk menanganinya
Lantaran itu, apabila isu Rosmah ini timbul secara berterusan, ramai yang mulai bersungut dah merasakan ia membebankan mereka.
Bagi mereka, jika Perdana Menteri, Najib Razak yang dibebani dengan pelbagai masalah seperti 1MDB, hutang yang meningkat, ekonomi yang perlahan atau kepimpinannya yang lemah yang menjadi isu, ia tidaklah menjadi masalah bagi mereka untuk mempertahan dan membelanya kerana ia memang peranan yang sewajarnya mereka pikul.
Tetapi apabila turut membela dan mempertahankan Rosmah juga, ia seperti menambahkan lagi tugas dan bebanan sedia ada, tambahan pula apa yang dilakukan oleh isteri Perdana Menteri yang menjadi bualan seperti penggunaan jet kerajaan dan berpelukan, adalah sesuatu yang jelas salahnya dan sukar dipertahankan.
Lantaran itu, ramai yang memilih berdiam diri daripada tampil mempertahankan Rosmah sejak kebelakangan ini kerana mereka mula merasakan ia sebagai beban dan bukannya tugas hakiki sebagai ahli atau pemimpin parti.
Yang agak berani dan terbuka mula bertanya, "sejak bila membela isteri Perdana Menteri sudah menjadi sebahagian perjuangan ahli dan pemimpin UMNO?"
Yang lain pula bertanya, "tidak bolehkah Rosmah berperanan seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini atau sekurang-kurangnya mencontohi perwatakan Siti Hasmah yang bukan saja tidak pernah menyusahkan parti dan kerajaan, bahkan amat menyenangkan semua orang?"
Bagi mereka, sejak dahulu lagi, isteri-isteri Perdana Menteri tidak pernah menimbulkan masalah dan karenah, malah kehadirannya lebih banyak membantu daripada menyusahkan Perdana Menteri. Tetapi kini, semua sudah menjadi sebaliknya.
Dalam masa yang sama juga, sudahlah Najib, UMNO dan kerajaan turut dibebani dengan masalah yang kian bertambah, munculnya isu berkaitan Rosmah secara berterusan dan tanpa henti-henti hanya akan menipiskan lagi peluang mempertahankan kuasa dalam pilihanraya akan datang ini.
Seharusnya, kata mereka, Najib menyedari bahawa keputusan pilihanraya lalu yang lebih buruk prestasinya berbanding 2008, sebahagiannya adalah disebabkan timbul isu-isu yang tidak berkesudahan berkaitan Rosmah yang tidak menyenangkan rakyat itu.
Najib juga digesa menyedari luahan-luahan di media sosial serta respon negatif terhadap isterinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh penonton dalam perlawanan akhir bolasepak Piala Suzuki baru-baru adalah gambaran perasaan oleh pengundi muda yang menjadi penentu dalam pilihanraya nanti.
Untuk menghadapi pilihanraya akan datang, ramai yang mencadangkan agar Najib segera memulakan langkah menjadikan isterinya tidak lagi menjadi perhatian atau topik perbualan atau berhadapan dengan kehilangan lebih banyak sokongan daripada rakyat.
Selain mengimbas perwatakan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang cukup sederhana dan tidak berlebih-lebihan, ada juga yang mahukan Rosmah kembali kepada watak dan peranannya sebagai isteri seperti ketika Najib menjadi menteri dahulu.
Secara umumnya, kian ramai yang berpandangan bahawa UMNO dan BN hanya mempunyai peluang mengekalkan kuasanya jika isu berkaitan Rosmah dapat diketepikan terus daripada menjadi mainan. Yang lain pula berpendapat, jika bukan Najib mengemudi parti dan kerajaan, harapan menang jauh lebih cerah.
Pendeknya, tanpa Najib dan Rosmah, lebih selamatlah negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan