Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin berkata langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia. - Foto EPA
KUALA LUMPUR, 21 Jan: Bekas anggota polis elit, Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan.
Menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan Notis Merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjutan kepada permohonan ekstradisi itu.
“Setakat ini, tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu,” ujar Kamarul Hisham yang dipetik Astro AWANI.
Malah, Kamarul Hisham berkata sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia semalam.
Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen negara itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Australia, Sirul Azhar ditahan atas kesalahan Akta Imigresen negara itu.
Susulan penangkapan itu, katanya polis akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan ekstradisi terhadap Sirul Azhar ke Malaysia bagi menjalani hukuman atas kesalahan membunuh model sambilan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lepas.
Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Isnin lalu, pasukan peguam bela bekas Koperal Sirul Azhar Umar akan mengemukakan cabaran di mahkamah Malaysia, jika pihak berkuasa meminta dia diekstradisi ke negara ini.
Kamarul Hisham berkata, mengekstradisi Sirul Azhar untuk menjalani hukuman mati, bertentangan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia.
“Saya pasti akan mencabar perkara itu di Malaysia,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, semua itu hanyalah andaian dan ia bergantung kepada langkah kerajaan seterusnya dan arahan Sirul Azhar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan