Kami hanya mahu nasihat peminat K-Pop, kata Jawi
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilihat mengambil pendekatan yang lebih lembut terhadap gadis-gadis Melayu bertudung yang dipeluk dan dicium artis K-Pop dalam sebuah konsert sebelum ini dengan mengatakan mereka hanya ingin memberikan nasihat kepada mereka.
Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, badan penguatkuasaan agama itu akan memfokuskan kepada kaunseling, memberi nasihat dan panduan, dan menambah itu merupakan niat mereka sejak awal lagi.
"Sebenarnya itulah (niat) kami, cumanya kami badan penguatkuasaan, kami terpaksa guna undang-undang. Kita tidak boleh hanya panggil mereka."
Paimuzi memberitahu The Malaysia Insider, sehingga kini, gadis-gadis Melayu tersebut masih belum dikenal pasti dan mereka masih belum tampil untuk bertemu Jawi.
"Kami sudah panggil mereka untuk hadir dan berbincang kes ini bersama, untuk lihat jika mereka perlu sebarang bantuan daripada Jawi."
Beliau berkata, terpulang kepada gadis-gadis tersebut jika mereka mahu meminta nasihat daripada Jawi dan menambah tiada jangka masa yang ditetapkan untuk mengadakan pertemuan tersebut.
"Jika dia sudah dapat nasihat daripada pihak lain, dan dia rasa tidak perlu (nasihat) pihak Jawi, terpulang, kita tidak ada masalah, terpulanglah."
Apabila ditanya mengenai waran tangkap yang akan dikeluarkan terhadap gadis-gadis tersebut sekiranya gagal menghadirkan diri, Paimuzi berkata Jawi tidak boleh memohon waran kerana masih tidak dapat mengenal pasti identiti gadis-gadis tersebut.
Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan