"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memperkasa Mahkamah Syariah bukan sekadar tingkatkan hukuman

WAWANCARA | MALAYSIA DATELINE
Ustaz Nakhaei Ahmad
WAWANCARA dengan Pengerusi Perkim Wilayah Persekutuan Datuk Nakhaei Ahmad yang dirancang seminggu awal terpaksa ditunda ekoran berpulangnya ke rahmatullah isteri beliau, Datin Rusmiati Harun. Ketika dihubungi, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu memberitahu agak sibuk menziarahi isterinya di hospital. Namun Allah SWT lebih menyayangi isteri beliau yang meninggal dunia akibat kanser.

"Saya tidak ada pengalaman mati isteri," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) di ibu negara.

Di usia 74 tahun, perawakan beliau tidak banyak berubah. Badannya berisi seperti mula dikenali di pentas politik lebih 30 tahun lalu, rambut, misai dan janggutnya kini putih. Dengan bercermin mata, beliau tenang menjalankan tugas walaupun baru kehilangan isteri tersayang.

polemik hudud

Ditanya tentang polemik pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini, beliau mengakui fokus masyarakat lebih tertumpu kepada hukum hudud walaupun hukum jenayah syariah sebenarnya mencakupi bidang yang lebih luas.

Bagi beliau pelaksanaan syariat Islam perlu dibuat berdasarkan keutamaan seperti contoh aspek yang bersangkutan dengan nilai kemasyarakatan.

"Jadi bagi fokus kepada hukum jenayah itu pun sesuatu yang harus dikaji terlebih dahulu, sama ada keutamaannya hukum jenayah Islam dan daripada hukum jenayah Islam itu adakah keutamaannya hukum hudud?

"Perlu ada kajian berdasarkan persekitaran kita ataupun harus diutamakan hukum berkaitan kemasyarakatan, kebudayaan, nilai-nilai hidup dan sebagainya," jelas beliau.

Menurut Ustaz Nakhaei, kesilapan yang dilakukan kini adalah apabila keputusan yang diambil ke atas sesuatu perkara tidak berdasarkan kepada kajian yang mendalam tetapi berdasarkan sentimen dan emosi.

Sebagai contoh, di saat hukum jenayah Islam khususnya hukum hudud dijadikan satu keutamaan, aspek yang sering ditinggalkan oleh mereka yang menonjolkan isu ini adalah 'keadilan'.

"Semua hukum yang dijalankan itu tertakluk kepada syarat utama iaitu menegakkan keadilan.

"Dalam hal ini, walaupun yang hendak dilaksanakan itu hukum jenayah Islam - sama ada hukum hudud atau bukan hukum hudud - ia hendaklah dipastikan dilaksanakan secara adil.
"Ini kerana dengan terang dan jelas Allah murka kepada orang yang melakukan kezaliman walaupun kezaliman itu dalam melaksanakan hukum syariah.
"Ertinya hukum syariah yang dilaksanakan secara zalim tetap mendapat kemurkaan Allah," tegasnya.

aspek keadilan Islam

Dalam usaha memperkukuhkan keadilan khususnya di Mahkamah Syariah, sistem keadilan itu harus ditegakkan. Sehubungan itu beliau menyarankan agar 'paksi keadilan' itu disempurnakan.

"Prasarana dalam Mahkamah Syariah itu perlu disediakan terlebih dahulu sebelum hukum hudud itu dilaksanakan. Kalau tidak ada sistem keadilan yang sempurna dan prasarana-prasarana keadilan yang lengkap, maka kemungkinan besar hukum hudud itu dilaksanakan secara zalim," ujar bekas Naib Presiden Pas itu.

Beliau menyifatkan sistem keadilan yang diamalkan dalam Mahkamah Syariah kini "terlalu jauh daripada sempurna".

"Soal nikah cerai pun tak selesai lagi. Tidak betul-betul melaksanakan keadilan. Bagaimana nak laksanakan sebat sampai 100 kali?

"Sistem keadilan harus diperbaiki dan jangan tergesa-gesa nak bagi kuasa yang luas kepada Mahkamah Syariah sedangkan paksi keadilan dalam Mahkamah Syariah itu tidak lengkap. Ini sudah tentu akan mengakibatkan kezaliman dalam hukum syariah," tegasnya lagi.

memperkasa Mahkamah Syariah

Bagi Ustaz Nakhaei, Mahkamah Syariah perlu diperkasakan dalam aspek kebolehan dan keupayaannya untuk menegakkan keadilan.

Perkara paling utama, jelas beliau adalah melahirkan hakim-hakim yang berpengetahuan tinggi, mempunyai keinsafan diri, bekerja dengan ikhlas, menjalankan tugas tanpa perasaan takut dan mempunyai keperibadian yang tinggi.

Perkara kedua adalah memantapkan sistem Mahkamah Syariah dengan mewujudkan akta-akta Mahkamah Syariah seperti akta-akta keterangan yang lengkap, etika hakim, kesaksian mengikut syariat Islam dan hal-hal yang seumpamanya.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, beliau menyarankan agar pegawai penguatkuasa syariah dipilih dan dilatih dengan baik memandangkan dalam kes-kes tertentu mereka akan bertindak sebagai saksi.

"Penguatkuasa ini perlu adil dan ia perlu dilatih supaya mempunyai keperibadian Islam yang takut kepada Allah dan tidak membuat tohmahan tertentu ataupun melakukan langkah yang silap.

"Oleh itu mereka mesti dilatih menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Janganlah ambil penguatkuasa siapa-siapa sahaja macam sekarang ini," ujarnya.

Selain daripada hakim, sistem keadilan dan undang-undang yang mengawal perjalanan mahkamah, beliau turut memberi penekanan tentang prasarana untuk memperkasakan keadilan.

"Saya berpendapat jika prasarana dalam mahkamah itu lengkap maka Mahkamah Syariah menjadi contoh untuk menegakkan keadilan. Pada waktu itu tidak ada ornag yang bimbang dengan keadilan Mahkamah Syariah.

"Kuasa banyak mana pun boleh diberikan, orang tidak ragu dan bimbang kerana orang hormat kepada pelaksanaan keadilan.

"Waktu itu barulah mendapat keredaan Allah dalam pelaksanaan syariah," jelasnya.

Bagi beliau, Mahkamah Syariah kini tidak begitu dihormati kerana tidak dapat menyelesaikan masalah yang kecil seperti masalah rumah tangga.

Naik taraf Mahkamah Syariah

Menyentuh tentang keperluan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilihat berada pada kedudukan yang lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil, beliau berkata usaha itu perlu dilakukan sebelum Mahkamah Syariah diberi tanggung jawab yang lebih besar.

"Kita lihat dalam usaha menyelesaikan masalah seperti nikah cerai, (Mahkamah Syariah) masih lagi dipertikaikan oleh masyarakat dan banyak wanita merasakan mereka dianiaya dan tidak diadili secara saksama," ujarnya.
Ditanya tentang keutamaan antara melaksanakan syariah dengan menyediakan kemudahan hidup rakyat seperti perumahan, pembasmian kemiskinan dan sebagainya, beliau berpendapat usaha itu perlu dilakukan secara serentak (concurrent).

"Ini adalah perkara yang mesti dilaksanakan secara serentak iaitu proses mewujudkan keadilan dan pelaksanaan syariat mestilah dilakukan; begitu juga usaha-usaha untuk memperbaiki masyarakat seperti menyelesaikan masalah kemiskinan dan sebagainya," ujarnya lagi.

Menurutnya, langkah-langkah untuk memperkasakan sistem Mahkamah Syariah sehingga memberi ruang untuk pelaksanaan hukum hudud ataupun hukum jenayah Islam yang lebih berat harus dilaksanakan.

Di samping itu, beliau menggesa usaha-usaha memperbaiki sistem zakat untuk mengatasi masalah kemiskinan atau bantuan-bantuan kepada mereka (golongan asnaf) yang memerlukan perlu diperkasakan.

"Sekarang dari segi kutipan amat berjaya tetapi masih banyak yang boleh dilakukan bagi memperbaiki sistem pembahagian zakat untuk asnaf. Banyak ruang yang boleh diperbaiki supaya menjadi lebih baik dan mampu menegakkan keadilan sosial," katanya.

RUU 355

Mengulas tentang polemik Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang menimbulkan keresahan dan perpecahan di antara sesama Islam dan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, beliau mempunyai nasihat untuk ahli-ahli politik.

Bagi beliau polemik yang melanda ekoran cadangan RUU 355 ini berpunca daripada "membuat sesuatu perkara tanpa kajian dan penyelidikan yang mendalam serta hanya berdasarkan emosi politik".

"Sebab itu dalam soal sebegini bukan persoalan politik semata-mata tetapi persoalan ilmu, keupayaan, persekitaran sehingga kita boleh mengeluarkan suatu keputusan yang bijaksana.

"Sesuatu keputusan bijaksana itu mesti berdasarkan ilmu dan kajian yang terperinci dan bukan hanya lontaran isu politik," tegasnya.

Menurut beliau, banyak perkara yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri dalam aspek pemerkasaan syariah tanpa membabitkan kerajaan pusat.

"Mengapa disentuh suatu perkara yang perlu persetujuan banyak pihak padahal ada perkara yang boleh dilakukan tanpa merujuk kepada kerajaan pusat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah," katanya.

Sebagai contoh, Kerajaan Kelantan boleh menubuhkan institut kehakiman Islam bagi melatih hakim dan penguatkuasa Islam; bukan mengumpul tukang sorak tetapi mengumpul para ilmuan dan pakar dalam perundangan Islam dan perundangan sivil bagi membentuk dan merangka akta-akta berkaitan perundangan dan etika hakim (contohnya).
Perkara ini, jelas Ustaz Nakhaei boleh diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri tanpa membabitkan Parlimen.

Apa yang lebih penting, katanya adalah melaksanakan kuasa sedia ada secara adil sehingga orang ramai tidak mempertikai tentang kewibawaan Mahkamah Syariah.

"Apabila perkara ini dilakukan, mintalah kuasa yang lebih, saya yakin orang akan memberikannya kerana yakin dengan kewibawaan Mahkamah Syariah," katanya.

kaedah terbaik

Ustaz Nakhaei melahirkan kebimbangan jika kuasa lebih besar yang diberikan kepada Mahkamah Syariah tanpa prasarana keadilan akan menyebabkan undang-undang dilaksanakan secara zalim dan mendapat kemurkaan Allah.

"Saya rasa bahawa dalam perjuangan Islam ini untuk menegakkan syariat Islam dalam pengertiannya yang luas, instrumen yang paling berkesan ialah dakwah.

"Ini tidak bermakna bahawa tidak ada peranan politik. Memang perlu kepada 'political will' tetapi intrumen utama ialah dakwah," ujarnya.

Kesungguhan politik, jelas beliau satu perkara yang penting kerana dalam mengatur masyarakat dan mentadbir negara, perlu ada keseimbangan kuasa sama ada kuasa politik, kuasa ilmu atau kuasa sokongan masyarakat.

Tanpa keseimbangan ini, ujarnya sama seperti masakan yang tidak seimbang.

"Saya lihat bahawa percaturan politik dalam negara kita ini terlalu lebih politik ibarat makanan lebih garamnya. Jadi rosak tak boleh makan.

"Lebih politik daripada ilmu, daripada kuasa rakyat, daripada kuasa raja, semua itu sudah bobrok. Inilah akibat yang kita tanggung sekarang. Semua diukur dari sudut politik dan kuasa politik. Kuasa rakyat juga disalurkan kepada politik pembangkang," jelasnya.

Negara ujarnya, memerlukan instrumen dakwah bagi menyampaikan yang makruf dan mencegah mungkar.

Memberi kefahaman dan dakwah juga melibatkan peranan orang berilmu dalam menggagaskan akta-akta dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa.

hak orang bukan Islam

Apabila ditanya tentang pandangan bahawa orang bukan Islam tidak wajar mencampuri hal ehwal berkaitan perundangan Islam, beliau berkata, Islam diturunkan untuk manusia dan dalam sistem Islam orang-orang bukan Islam juga mempunyai hak.

"Apabila kita melaksanakan sistem Islam maka orang-orang bukan Islam mempunyai hak mereka. Jadi orang-orang bukan Islam bukan dibiarkan tetapi menjadi kewajipan kepada pemerintahan Islam untuk mengurus hal-hal berkaitan orang bukan Islam dari segi cara berfikir mereka, dari segi akhlak dan perwatakan mereka.

"Oleh kerana kita tidak menguruskan hal ehwal bukan Islam maka mereka menjadi 'nanar' menentang kita. Mereka tidak menghargai keadilan kita dan jasa kita kepada mereka kerana kita gagal menguruskan minda mereka.

"Dalam sistem Islam memang hal bukan Islam juga turut dijaga. Hak mereka juga untuk protes dan kita berkewajiban untuk menjelaskan kepada mereka. Mereka menyangka sistem Islam tidak adil padahal sebaliknya. Kenapa mereka menyangka demikian kerana kita tidak memberi faham kepada mereka. Itu salah kita," katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan: