"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Tsunami Mahathir dan Tsunami Hadi saling melengkapi

AHMAD LUTFI OTHMAN
Teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 hangat diperkatakan. Ada yang menjangkakan ia mungkin diadakan seawal September ini, ketika bahang sambutan hari kemerdekaan ke-60 masih terasa. Acara Sukan SEA 2017 juga bakal berlangsung di Kuala Lumpur, bermula 19 hingga 31 Ogos, turut dianggap faktor penentu pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri Najib Razak berdepan pelbagai cabaran besar untuk menentukan kesesuaian waktu bagi memperolehi mandat baru rakyat. Kesilapan taktikal yang kecil mungkin boleh menamatkan era pemerintahan BN-Perikatan sejak merdeka. Saingan pembangkang kali ini dilihat paling sengit pernah dihadapi kerajaan, ditambah deretan skandal kewangan mega, yang masih tidak mampu ditangani dengan baik.

Benar, bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim, yang menjadi faktor utama kebangkitan rakyat sejak 1999-2013, kini berada dalam penjara. Namun, muncul pula negarawan ulung, Dr Mahathir Mohamad, yang melancarkan serangan "berani mati" terhadap Najib, berkempen ke seluruh pelosok negara, siang dan malam, bercerita tentang kleptokrasi, negara "pencuri, penyamun dan penyangak".

Benar, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat sudah berkubur, dan salah satu komponen utamanya, Pas seakan-akan condong kepada Umno-Najib, atau sekurang-kurangnya menghalakan lebih serangan terhadap oposisi sendiri. Namun, Umno juga berdepan krisis dalaman yang parah apabila tertubuhnya parti baru Bersatu yang mendapat sokongan mengejutkan daripada bekas ahli Umno. Amanah pula dikatakan menampung penghijrahan atau sokongan senyap hampir satu pertiga ahli-ahli Pas.

"Grand coalition" baharu

Malah, pembentukan "grand coalition" baru, Pakatan Harapan bersama Bersatu, mungkin menampilkan kesatuan yang lebih mantap, dan lebih diyakini khususnya oleh pengundi Melayu di kawasan kampung tradisi dan penempatan Felda, yang selama ini dianggap kubu Umno. Peranan proaktif Dr Mahathir kelihatan begitu menonjol dan menyerlah sekali.

"Mahathir memberi keyakinan baru bahawa Umno-BN boleh dikalahkan. Mahathir datang ketika pembangkang nampak bercelaru dan hilang fokus," ulas seorang wartawan kanan yang banyak menulis isu-isu politik. "Dia seperti mengambil alih fungsi Anwar sebagai pemersatu pembangkang walaupun tidak dinafikan ada pihak mengambil sikap berbelah bagi terhadap masa silamnya. Tapi perlahan-lahan peranannya semakin dihormati," tambahnya.

Agus YusoffWalaupun saya pernah menulis tentang gelombang Tsunami Hadi (merujuk faktor Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang) bakal menggegarkan PRU14, saya turut tertarik dengan istilah Tsunami Mahathir seperti disebut penganalisis politik, Prof Madya Dr Agus Yusoff.

Sebenarnya kedua-dua faktor ini saling melengkapi, bukannya bercanggah antara sama satu lain. Tsunami Hadi berbeda dengan faktor Anwar sebelumnya, atau Tsunami Cina pada PRU13, yang memberi banyak kelebihan dan lonjakan kepada pembangkang. Tsunami Hadi mungkin menyumbang kemerosotan teruk kepada prestasi Pas dalam PRU14.

"Flip-flop" presiden Pas

Pendirian politik dan sikap berdolak-dalik atau "flip-flop" Presiden Pas itu bukan saja menimbulkan kesangsian dan kecurigaan pengundi, terutama masyarakat bukan Islam, tetapi meninggalkan kesan negatif kepada penyokong parti Islam itu sendiri. Di peringkat akar umbi, mereka menjadi keliru dan kecewa apabila Pas tidak lagi berada dalam "grand coalition" pembangkang dan gagal memperjuangkan isu-isu kritikal rakyat, sebaliknya dilihat lebih dekat dengan Umno.

Dr Agus dalam kemaskini FB mencatatkan: "Tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin, Najib Razak yang memimpin BN, Dr Mahathir yang berada dalam Pakatan Harapan, dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas."

Setelah meneliti ceramah oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut, dalam tiga majlis berasingan, sekitar Februari dan Mac lalu, Dr Agus membuat pertanyaan penting: "Mungkinkah yang muncul dalam PRU14 nanti ialah Tsunami Mahathir?"

Bersatu di Kedah

Pensyarah kanan Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, berpendapat, Dr Mahathir secara bersendirian memang tidak boleh mencetuskan satu gelombang besar, tetapi hari ini satu-satunya kemampuan yang beliau miliki adalah sikap yang jelas dalam hala tuju politiknya -- untuk mengalahkan BN -- dan ia adalah syarat utama untuk mengemblengkan serta menyatukan pembangkang sebagai satu tenaga anti-BN yang kuat.

"Dr Mahathir tidak perlu menarik undi bukan Melayu kerana 85 peratus sokongan bukan Melayu sudah berada dalam genggaman Pakatan Harapan. Beliau hanya perlu mengalihkakn antara 13 hingga 15 peratus sahaja undi Melayu kepada Pakatan Harapan, dan jika ia berjaya direalisasikan, negara ini bakal menyaksikan pembentukan kerajaan baru pasca PRU14," jelas Dr Mazlan.

Mahfuz OmarSementara itu, bekas Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar memberitahu, pengaruh Bersatu nampak menyerlah di Kedah. "Mungkin tiada nama-nama besar selain Dr Mahathir dan Mukhriz Mahathir, tetapi sebenarnya pada peringkat akar umbi, begitu ramai pimpinan Umno Bahagian, termasuk kalangan Pemuda, wanita dan Puteri Umno telah menyertai Bersatu," ujarnya.

Bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu juga berkata, beliau difahamkan, untuk satu-satu kawasan Parlimen di negeri berkenaan, Bersatu mempunyai ahli sekitar 3,500 hingga 4,000 orang dan lebihkurang 95 peratus daripadanya adalah bekas ahli Umno.

"Secara simulasi mudah, jika diandaikan seorang ahli boleh membawa tiga lagi anggota keluarganya untuk menyokong Pakatan Harapan, bermakna pertambahan lebih 10,000 orang bakal menyokong pembangkang dalam PRU14 untuk setiap kawasan Parlimen. Sebab itu saya percaya BN boleh tumbang walaupun mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru jika Pas terus tidak mahu bersama grand coalition," tambah Mahfuz lagi.

Pengaruh Mahathir

Dalam pada itu, Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah berkata, Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan-kawasan perkampungan tradisi Melayu di Semenanjung. "Aura Dr Mahathir selama 22 tahun di tampuk kekuasaan dapat dirasakan hingga kini kerana sepanjang tempoh tersebut rakyat tidal terbeban dengan cukai-cukai yang membebankan rakyat seperti GST," jelasnya lagi.

Hamzah Abdullah"Saya kira di kalangan etnik Muslim Bumiputera, fenomena Mahathir masih relevan dan mampu menyumbang kepada kekuatan pembangkang yang mana Bersatu menjadi komponennya. Di Sabah, pengaruh Mahathir terbahagi kepada dua kelompok berlainan yang punya kontra tersendiri. Di kalangan etnik KDM, Mahathir dianggap sebagai pengkhianat rakyat Sabah atas penglibatan beliau mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing.

"Di kalangan masyarakat Cina, fenomena Mahathir cukup memberangsangkan disebabkan sikap anti-Najib dan anti-Umno beliau yang jelas," ujar Hamzah, bekas calon Pas yang pernah kalah tipis di kawasan Parlimen Batu Sapi dalam PRU13.

Seorang blogger menyimpulkan keistimewaan Dr Mahathir dan juga Anwar: "Berbeda dengan tokoh-tokoh kerajaan yang terpaksa menyertai pembangkang, termasuk Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah yang nampak agak kekok, saya perhatikan, Mahathir dan Anwar cepat sesuaikan diri dan serasi dengan budaya kepembangkangan. Mahathir dan Anwar mudah faham bagaimana posisikan diri sebagai pembangkang yang efektif."

Keupayaan pembangkang mencipta sejarah dalam PRU14 bergantung kepada banyak faktor. Ia saling menyumbang, termasuk untuk bertanding atas satu logo dan satu manifesto, juga dengan mengurangkan pertembungan sesama sendiri. Namun, faktor Mahathir boleh dianggap antara penentu utama, sama ada sehingga mampu mencetuskan Tsunami Mahathir atau tidak. Dalam masa sama, tumpuan juga harus diberikan kepada Tsunami Hadi, yang bakal melengkapi fenomena politik tidak lama lagi.

Tiada ulasan: