"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerana Pulut dan Nila Setitik

nuraflah
Pepatah Melayu ada menyebut, “Kerana pulut santan binasa, Kerana mulut badan binasa”.

Lebih kurang jam 8 malam pada hari jumaat malam sabtu, saya menerima sms dari rakan saya yang meminta saya membuka blog Aduka Taruna. Kata kawan saya, “Aduka sudah melampau”.

Tanpa membuang masa, saya terus membuka blog Aduka Taruna. Entri terbarunya yang bertajuk
“Dah mampos buat cara mampos la” memang memeranjatkan saya.

Ketika itu baru ada 2 komen dan saya terus ‘print screen’ artikel itu kerana gerak hati saya dapat merasakan, artikel itu akan menjerat dirinya sendiri.

Selepas itu, saya terus membuka twitter dan mencari maklumat terkini tentang kemangkatan Sultan Johor. Melalui twitter Shamsul Iskandar (Ketua AMK), kemangkatan Sultan Johor telah disahkan pada jam 7.18 malam dan bukannya pada waktu pagi seperti yang didakwa Aduka.

Pada saya, Aduka telah membuat kesilapan besar bila menyatakan waktu kemangkatan Sultan pada sebelah pagi dan kata-kata kesat yang digunakannya terhadap institusi Raja boleh memakan dirinya sendiri.

Apa yang telah dijangka oleh saya dan kawan-kawan saya memang betul.

Semalam saya menerima banyak sms mengenai apa yang Aduka tulis itu tapi disebabkan terlalu sibuk, baru hari ini saya dapat membuka internet dan melihat fenonema Aduka di internet.

Wow! Banyak betul blog yang mengutuk tindakan Aduka dan ada juga pihak yang mendakwa, laporan polis telah dibuat terhadap dirinya biarpun dia sudah memohon maaf serta menarik balik artikel itu.

Apa lagi yang boleh saya katakan. Nasi sudah menjadi bubur dan mahu atau tidak mahu, dia perlu berhadapan dengan apa jua tindakan yang bakal dihadapinya.

Sejujurnya, sejak dulu lagi (sudah setahun lebih saya membaca blog ini), banyak artikelnya yang mencabar kesabaran saya bila dia mengutuk ulamak dan menggunakan kata-kata yang sangat kesat.

Dia yang kononnya memperjuangkan ‘PAS Reform’ tidak sedar yang tulisannya telah membuatkan lebih ramai orang membenci perjuangan Islam.

Saya tidak tahu berapa ramai orang yang telah menjadi ahli PAS kerana membaca artikel Aduka Taruna tapi yang saya tahu, begitu ramai orang yang telah menjadi ahli PAS kerana dakwah yang dijalankan Dr Haron Din, Hj Hadi Awang, Dr Hasan Ali dan ramai lagi pemimpin PAS yang telah dikutuknya.

Buat Aduka Taruna, jadikanlah insiden ini sebagai pengajaran yang amat berguna. Jadilah seperti lilin yang sanggup dimamah api untuk menerangi orang lain. Janganlah jadi seperti api yang membakar lilin untuk menerangi orang lain.

Tiada ulasan: