"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dialog isu ‘nama Allah’ di rumah Anwar

ABD SHUKUR HARUN

Ruang tamu rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Segambut Dalam malam Isnin lalu sudah penuh, malah melimpah keluar ketika saya dan Ir. Khalid Samad dan anaknya, YDP Kelana Jaya, Ir. Izham Hashim melangkah masuk di celah-celah para tamu.

Begitu ramai yang datang untuk berdialog mengenai isu ‘nama Allah’. Kelihatan hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasarudin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, ahli akademik, para pemimpin NGO Islam dan tetamu lain.



Dialog malam itu hangat, terbuka dan perbahasan mendalam. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tuan rumah dalam muqaddimahnya menyeru kepimipinan Pakatan Rakyat, cendekiawan Islam, ahli akademik, para pemimpin (NGO Islam serta para hadirin semuanya supaya kembali fokus kepada usaha menentang kezaliman. Isu ini juga penting, katanya, kerana kita sedang dihadapi di mana kerajaan seolah-olah tidak nampak masalah kezaliman, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya,” jelas beliau.

Kata Anawr, kita bukan sekedar membincangkan isu hangat mengenai ‘nama Allah’ walaupun, isu ini penting. Tetapi lebih dari itu “saya menyeru supaya perjuangan menegakkan keadilan dan membasmi penyelewengan diteruskan – tidak berhenti setelah tercetusnya isu ‘nama Allah’ ini.”

Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengulangi pendirian PAS supaya pendiriannya tidak dipolitikkan justru keputusan itu dibuat dengan cermat setelah dibahaslan dari pelbagai sudut oleh mesyuarat Lajnah Politik PAS baru-baru ini.

Presiden PAS, Dato” Seri Abd Hadi Awang dalam kenyataannya dulu mengatakan bahawa keputusan PAS mengharuskan orang bukan Islam menggunakan nama Allah ialah berasaskan kaedah Islam, diperkukuh oleh nas Al-Quran, Sunnah dan hadis dan juga kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Namun PAS mengingatkan setiap warga negara Malaysia bahawa penggunaan nama Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang merosakkan keharmonan kaum dan agama di negara ini.

Pendirian PAS ini katanya, sama sekali tidak dipengaruhi oleh mana-mana keputusan mahkamah dan mana-mana pihakpun. Keputusan PAS itu berdiri sendiri berdasarkan nas Al-Quran, Sunnah, hadis dan wakiq yang ada.

Ada dua pandangan yang dapat disimpulkan dari majlis dialog malam itu. Pandangan pertama dari Prof. Dr. Kamal Hasan, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, Cikgu Azmi Abd Hamid dari Teras, Zaid Kamarudin dari JIM, beberapa orang pensyarah dan seorang peserta dari IKIM. Mereka bimbang kemungkinan besar terjadi ‘penyalahgunaan’ nama Allah itu oleh pihak tertentu apabila ia dibenarkan dalam konteks iklim negara ini.

Pandangan kedua dari pembicara Prof. Emeritus Dr. Othman Bakar, Hanifah Maidin, Ir. Khalid Samad, Salahudin Ayub dan beberapa pembicara lain yang mengharuskan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam. Mereka memperkukuh hujah berasaskan prinsip Islam dan tidak ada sebarang larangan di dalam Al-Quran mengenai pengunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

Seerah dan hadis Nabi s.a.w. sendiripun, kata mereka, tidak menyebut mengenai larangan tersebut. Sebagai contoh, Ir. Khalid Samad menyebut mengenai perjanjian Hudaibiyah antara kafir Quraish Makkah dengan Rasulullah, surat Rasulullah s.a.w. sendiri kepada raja bukan Islam yang menyeru mereka memeluk Islam dan beberapa contoh lain.

Khalid Samad menegaskan bahawa bukan isu kalimah Allah yang sepatutnya menjadi perebutan antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya semua pihak diseru mendalami pengertian sebenar kalimah Allah itu sendiri.

"Bukan isunya kalimah (Allah), tapi maksud (sebenar) pada (kalimah) 'Allah' itu sendiri yang berbeza-beza," jelas beliau, sama seperti yang dihujahkannya dalam Forum 'Allah: Siapa Yang Punya?' di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Prof. Emeritus, Datuk Othman Bakar yang lama mengajar di universiti Amerika menegaskan mengenai sifat Islam itu sendiri sebagai agama universal untuk semua manusia, Rahmatan Lil-Alamin. Dengan itu, katanya, bagaimana kita hendak berdialog dan berdakwah dengan bukan Islam sekiranya orang bukan Islam dilarang menyebut nama Allah sedangkan mendakwah itu wajib kepada umat Islam.

Pengalaman beliau berdialog dengan bukan Islam, termasuk para paderi Kristian, di luar negara untuk menerangkan prinsip Islam menyebabkan beliau bersetuju membenarkan penggunaan nama Allah, walaupun, katanya, dia menyedari kebimbangan umat Islam di Malaysia.

“Kita jangan mengongkong diri dan merasakan umat Islam/Melayu di Malaysia mempuyai hak khusus terhadap nama Allah. Kalau begitu, bagaimana kita hendak berinteraksi dan berdialog dengan bukan Islam,” katanya.

Naib Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man disamping mengulangi pendirian PAS, juga menyatakan kebimbangannya akan penyalahgunaan nama itu. Oleh itu, katanya, kita hendaklah sentiasa waspada. Sementara itu, sorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta semua kepemimpinan Pakatan Rakyat supaya berusaha mencari titik persamaan dengan penganut agama yang lain melalui dialog atau wacana ilmiah.

Beliau turut mencadangkan Pakatan Rakyat menjadikan nilai keadilan, integriti, kebebasan, ketelusan dan demokrasi sebagai titik persamaan untuk mengajak semua penganut agama berwacana. Hanifah Madin memberikan pandangan terutamanya dari aspek perundangan di mana, katanya, sangat wajar semua pihak sekarang ini menekankan perkara keadilan di dalam Islam. Ini, katanya, sangat penting. Hanifah yang mendukung keputusan PAS Pusat mengharuskan nama Allah digunakan juga oleh bukan Islam, mengulangi hujahnya seperti yang ditulis di dalam blognya, ‘Peguam PAS’.

Saya sangat mengerti akan kebimbangan amat sangat yang disuarakan oleh beberapa tokoh di majlis dialog di rumah Anwar itu dan memang wajar kebimbangan itu dilahirkan. Namun, kebimbangan itu tidak mengurangkan kepentingan bagi umat Islam berinteraksi untuk berdakwah dengan bukan Islam. Wajib dakwah ini ditekankan oleh Al-Quran dan diperlihatkan contohnya dalam Sunnah Rasul dan pertuturannya.

Kesimpulannya mestilah ada keseimbangan, iaitu sementara kita merasa bimbang dan berwaspada jika nama Allah itu disalahgunakan, kita juga dituntut wajib dakwah dan jangan sekali-kali menutup pintu dakwah semata-mata kerana kita diselubungi kebimbangan. Teruskan berdakwah sambil berwaspada.

Dialog malam itu memang hangat. Saya teringat pesan Almarhum Muhd Natsir, “Betapapun panasnya perdebatan, kepala mesti dingin”.

Tiada ulasan: