M Faqih
Aneh sekali, ketika rakyat terdedah dengan pelbagai sumber maklumat tiba-tiba ada pemimpin yang bertaraf menteri menafikan perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.Tanpa segan silu menteri terbabit mendakwa Akta Kemajuan Petroleum 1974 terbatal dengan adanya perjanjian Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia Thailand 1979.
Itulah perkara yang berlaku pada forum Wang Ehsan bertajuk ‘Antara Retorik Politik dan Keperluan Rakyat’ di sebuah hotel lima bintang di sini, malam tadi.
Ahli panel forum itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.Manakala Pengarah Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan, Datuk Prof Dr Hussin @ Mohamad Abdul Rahman sebagai pengerusi.
Akhbar melaporkan lebih 5,000 orang ramai hadir pada forum berkenaan, sedangkan kelihatan lebih banyak kerusi kosong.
Mereka yang diwajibkan hadir ialah pemimpin-pemimpin Umno dan kakitangan kerajaan persekutuan terutamanya warga pendidik.
Malang sekali tradisi menafikan fakta seperti menjadi satu mainan bagi pemimpin Umno di era sekarang.
Pembaca tentu masih ingat harga dua jet pejuang pada awalnya disebut RM50 juta setiap satu. Tiba-tiba sekarang sudah jadi RM400,000 pula. Siapa yang memperbodohkan rakyat dalam isu ini.
Lagi nampak kurang matang apabila dakwaan kehilangan dua enjin jet pejuang milik TUDM pada 2007 dikatakan tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi.
Maknanya prebetlah yang buat kerja mencemar kedaulatan negara tersebut. Inilah sandiwara yang berterusan berlaku di Malaysia selagi akar umbi agama diketepikan.
Nampaknya siri cerita dongeng tidak berakhir di situ. Sekarang cerita pak kaduk diteruskan pemimpin Umno di Kelantan. Malang sungguh bagi rakyat di Jeli mengangkat seorang pemimpin seperti Mustapa sejak 2004.
Rakyat di Jeli tidak sepatutnya bersubahat dengan agenda sulit yang memperlihatkan agenda politik peribadi. Mampukah rakyat di sana terhibur dengan hanya menyaksi dari luar pagar bangunan cantik MRSM dan projek politeknik dan kampus Universiti Malaysia Kelantan tersergam di Jeli.
Sedangkan duit royalti mahu disihirkan menjadi wang ihsan. Sepatutnya rakyat di Jeli sudah tidak keluar menoreh lagi kerana di situ sudah pelbagai projek dibawa Mustapa.
Berbalik kepada cerita asal tadi, nampak sangat pemimpin Umno menyembunyikan perkara sebenar. Akta Kemajuan Petroleum 1974 bagi mereka sudah lusut dan tidak terpakai lagi.
Sedangkan akta itulah yang mengikat Petronas membayar royalti kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tiba-tiba dalam konteks Kelantan disebut pula perjanjian itu sudah lapuk.
Maka mengambil kira kedegilan itulah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menganggap pemimpin terbabit sebagai penderhaka.
Malam tadi Mustapa menjelaskan kerajaan Persekutuan mahu membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan Mac depan.
Menurutnya perbincangan dengan Petronas menghasilkan jumlah wang tersebut. Kata beliau lagi ia merupakan hasil pengeluaran minyak dan gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301 berdekatan dengan perairan Kelantan.
"Jumlah RM20 juta itu merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil di blok tersebut sejak Mei 2008," katanya.
Sedangkan sebelum ini beliaulah yang menafikan hak Kelantan ke atas royalti. Orang kampung masih ingat pemimpin itu bernama Mustapa dan Awang Adek.
Sejak Julai sehingga awal November, mereka menolak mentah-mentah hak rakyat Kelantan ke atas royalti. Macam-macam alasan yang sukar difahami orang di Jeli dan Bachok diberi.
Namun, tiba-tiba selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui akan membayar royalti dalam bentuk ihsan kepada Kelantan, akhirnya kedua pemimpin terbabit terpaksa mengikis malu.
Kalau sekadar berlapik alasan dengan menyebut pengeluaran minyak di Blok PM302 dituntut bersama Thailand, mengapa pula Songkhla difahamkan sudah lama menerima royalti daripada kerajaan Siam.
Sedangkan minyak dan gas digerudi di perairan Kelantan sejak 2004.
Mustapa mendakwa hasil diperolehi dikongsi bersama hanyalah sebanyak RM800 juta. Kata beliau hasilnya tidak boleh diberikan kepada Kelantan kerana ia merupakan kawasan bertindih dua negara.
Jadi timbul kemusykilan, apa pula makna RM20 juta yang disebut wang ihsan di awal tadi.
Amat malang sekali bagi rakyat Kelantan yang menyokong Umno. Sebelum ini mereka mengharap ada pemimpin yang lebih berwibawa berbanding dengan Tan Sri Annuar Musa.
Rupa-rupanya tidak. Penyokong Umno terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk mengimpikan pemimpin yang benar-benar jujur.
Biar pun didakwa lebih 5,000 hadir pada forum malam tadi, Umno tetap bimbang kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah malam esok di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.
Tengku akan menjelaskan perkara sebenar. Pencarian siapa pembohong alaf baru akan menjelma malam esok.
Apakah pagi Jumaat nanti, Mustapa dan Awang Adek bekejar-kejar mencari media mahu menafikan penjelasan Tengku pula.
Banyak pihak melihat itulah yang akan dilakukan kedua-dua pemimpin kelahiran Bachok selagi ada kuasa di tangan mereka.
Maka tidak hairanlah penganjur majlis penjelasan royalti rakyat cuba diganggu.
Urusetia Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan lain-lain pihak yang terbabit mendakwa menerima pelbagai ugutan.
Apakah tanggungjawab untuk merungkai perkara sebenar seperti menelan jadam yang terlalu pahit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan