"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Temenggong gagal cabar Pemangku Raja

Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, Jan 29: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry yang mencabar keputusan Pemangku Raja Kelantan yang menggugurkan beliau dari Majlis Perajaan Negeri tahun lalu.

Hakim Mohd Ariff Md Yusof dalam keputusannya menjelaskan mahkamah bukan saluran yang betul untuk menyelesaikan tuntutan dibawa Tengku Muhammad Fakhry.

“Ini adalah keputusan atas prerogatif peribadi. Mahkamah perundangan tidak sesuai untuk memutuskan perkara ini,” kata Mohd. Ariff.

Tengku Muhammad Fakhry (gambar) memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman pada 7 Dis 2009, selepas beliau digugurkan daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 16 Sept.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman untuk mengetepikan keputusan Tengku Muhammad Faris yang membatalkan pelantikan beliau daripada menganggotai Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Dalam permohonan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah untuk mendesak Tengku Muhammad Faris supaya mengembalikan semula kedudukan beliau sebagai anggota majlis berkenaan, dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima lagi anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Tengku Mahkota, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan kerajaan Kelantan masing-masing sebagai responden pertama, kedua serta ketiga.

Lima orang lagi yang turut dinamakan sebagai responden ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Peguam K.Shanmuga mewakili Tengku Muhammad Fakhry manakala Datuk Cecil Abraham bertindak bagi pihak Tengku Mahkota Kelantan dan lima responden yang lain.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: