"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majikan Berhati Binatang

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid

SELAYANG: “Saya tidak sangka majikannya berhati binatang hingga tergamak mendera dan membunuh kakak kandung saya. Malah gigi dan bibirnya pecah selain cedera teruk di kepala,” kata Muhammad Nasir Mohd M Nor, 29, selepas membuat pengecaman seorang wanita yang maut dipercayai didera majikannya di Melaka.

Dia yang ditemui wartawan semalam jelas tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan sedih dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan individu yang terbabit membunuh kakaknya, Nurul Aidah, 31, selepas mangsa baru berhijrah ke negara ini tahun lalu untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

“Saya sendiri pergi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan pengecaman mayat kakak.

Hanya perasaan pilu teramat dirasai apabila melihat kakak terbujur kaku tidak bernyawa.
“Lebih menyedihkan keadaan mayat kakak sangat uzur termasuk lebam hampir seluruh badan, bibir atas pecah, sebahagian gigi atas rongak dan tangan kirinya turut patah.
“Arwah yang tak berdosa diperlakukan sebegitu.

Dia datang ke sini hanya untuk bekerja bagi membantu keluarga, lebih-lebih lagi ayah meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Melayu, Batu Caves di sini, semalam.
Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga dihubungi Nurul Aidah kira-kira tiga bulan lalu di Bogak, Indonesia dari Melaka yang bertanyakan khabar ibu mereka, Enor, 50-an.
Selepas itu, katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu senyap tanpa sebarang berita sebelum kisah penemuan mayat wanita berkenaan tersiar di televisyen Indonesia, Jumaat lalu.

Muhammad Nasir berkata, pada hari laporan itu disiarkan, dia berada di rumah rakannya di Pahang sebelum menerima panggilan ibu di Indonesia yang menyatakan kakaknya di Melaka sudah meninggal dunia.
Katanya, berdasarkan makluman Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, jenazah Nurul Aida akan dibawa pulang ke kampungnya hari ini (semalam) ke Bogak, kira-kira tiga jam setengah jarak perjalanan dari Lapangan Terbang Polonia Medan.

-Harian Metro-

Tiada ulasan: