"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan Berhak Terima Royalti 5 Peratus

Mohd Zuharmann

KOTA BARU, Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.

“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,” kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus.

Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.

“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat.

Pada sidang media, Tengku Razaleigh menyifatkan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengampu manakala Utusan pula akhbar dongeng.

“Jangan sebut nama itu depan saya. Mustapa pengampu Utusan dongeng,” katanya diminta mengulas kenyataan Mustapa bahawa kerajaan pusat hanya akan bayar wang ihsan pada kerajaan negeri.

Ditanya konflik antara wang ihsan dan royalti beliau berkata, “royalti bukan wang ihsan, wang ihsan bukan royalti.”

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menolak atau menerima bayaran royalti atau wang ehsan.

Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di Stadium Sultan Mohd IV di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.

Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.

Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.

Menjelang program penerangan isu tuntutan royalti malam ini, Stadium Sultan Mohd IV mula dibanjiri orang ramai sejak pukul 6 petang tadi.

Tengku Razaleigh akan berucap memberi penerangan mengenai isu itu.

Pengerusi bersama program Gegar ini, Dr Abdul Halim Yusof menjangkakan tidak kurang 50,000 orang akan mengikuti program tersebut.

“Tengok pada keadaan sekarang saya rasa lebih dari 50,000 akan hadir,” kata beliau ketika ditemui di kawasan stadium kira-kira 6.30 petang tadi.

Difahamkan program akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah royalti.

Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri.

-MalaysianInsider-

Tiada ulasan: