Ahmad Muhajir
PERJALANAN panjang dari KLIA ke Istanbul, Turki dengan transit melalui Singapura dengan menaiki pesawat MH, dan dari Lapangan Terbang Changi diteruskan menggunakan kapal terbang Turki Air memakan masa lebih 10 jam untuk sampai ke bandar (bandar udara atau lapangan terbang) Antarabangsa Ataturk Istanbul pada Khamis lalu (19 Mei) amat menarik dan menyeronokkan.
Ini kerana negara yang sudah lama dirindui untuk dikunjungi, negeri yang sarat dengan peradaban, tempat transit dan pertembungan peradaban dunia kerana keberadaan Turki yang begitu strategik, negaranya berada di dua benua sebahagian besar berada di daratan benua Asia dan sedikit kawasan berada di benua Eropah.
Alhamdulillah dengan takdir dan izin Allah, kami 35 anggota rombongan Wadah-ABIM diketuai Naib Presiden Wadah, Ahmad Azam Ab Rahman mengikuti Ekspedisi Pendidikan dari 19 Mei sampai 31 Mei ini, kali kelima dibuat oleh Wadah-ABIM dan tahun ini dilengkapi perjalanan ziarah ke Cordova dan Granada Sepanyol, mengimbau kembali keberhasilan pemerintahan Islam di bumi Andalusia beberapa abad yang lalu. Sesampai kami di bandar Ataturk, tentu dengan nama ini kita agak hairan dan terkejut juga, kenapa pemerintahan sekarang yang diterajui oleh gerakan Islam, Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan masih membiarkan nama menyanjung Ataturk.
Inilah kebijakan yang mereka ambil membiarkan nama-nama dan simbol sekular ini terus ada, bukan sahaja ini sebagai bukti sejarah pengkhianatan terhadap Islam, tetapi jika soal kulit ini disentuh, khuatir masih ada saki baki pengikut Ataturk dalam kerajaan, terutama dalam tentera, yang mana jika tindakan membuang nama atau simbol ini akan menimbulkan masalah.
Tidak mustahil mereka bangkit menentang dan menjatuhkan kerajaan ini yang sudah berkuasa hampir 10 tahun, walaupun pada zahirnya kekuatan kelompok sekular semakin melemah dan berkurang, dan kearifan yang ditempuh oleh parti AK dengan menjalankan dakwah, terutama politik Islam dengan sangat berhemah dan penuh hikmah, mengutamakan isi dan mengisi kehidupan masyarakat Turki yang hampir 99 peratus beragama Islam ini, dengan ilmu dan membangun semula peradaban Islam yang sudah hilang lebih 100 tahun. Ternyata hasilnya kini nampak dan semakin ketara, bagaimana dahulu kerakusan Ataturk untuk menghancurkan akidah, syariah dan peradaban Islam sampai ke akar-akarnya, mendapat perlawanan secara perlahan tetapi pasti daripada umat Islam, antaranya yang dilakukan oleh ulama besar Turki Said Badiuzzaman Said Nursi dengan gerakan dan amal tasauf harakinya membangun kembali kekuatan umat dengan menghidupkan kembali ruhnya, menegakkan agama Ilahi ini dan menggerakan sunnah Nabi.
Terkenal dengan peninggalan agungnya Risalah An Nur, Said Badiuzzaman telah mewariskan kembali benih-benih kebangkitan kembali Islam di negeri para nabi dan rasul ini, kerana di bandar Urfa, sebelah tenggara Turki adalah tempat kelahiran dan dibakarnya bapa para nabi dan rasul, Nabi Ibrahim a.s., dan juga Nabi Ayub a.s., rasul Allah yang mengalami ujian dan cubaan yang begitu berat dalam menyampaikan risalah Ilahi ini kepada umatnya.
Bermula dengan kesedaran yang dilakukan oleh Adnan Manderes, perdana menteri Turki suatu ketika dulu, cuba kembali menghidupkan suasana Islam, yang telah dihancurkan oleh Mustafa Kamal Ataturk bersama para pengikutnya di kemudian hari. Apalagi masa itu ajaran Risalah An Nur yang ingin mengembalikan umat kepada al-Quran dan As Sunnah sudah mulai bergerak dan nampak, antaranya mengembalikan azan dalam bahasa Arab, menghidupkan pengajian dan kelas-kelas al-Quran, walaupun gerakan ini sangat dibenci dan ditakuti oleh sebahagian besar pemerintahan yang begitu setia dan fanatik dengan ajaran Kemalisme.
Jemaah An Nur mulai berkembang, dan pada masa Prof Necmettin Erbakan menjadi perdana menteri Turki pada awal 70-an suasana Islam itu semakin nampak, hanya pada masa itu kerana suasana psikologi dan persekitaran politik yang belum bersedia, Erbakan dan parti Islamnya masa itu melakukan pendekatan agak keras, ingin cepat sekali untuk melawan gerakan Ataturk, ini menjadikan tentera Turki sebagai kekuatan yang paling setia kepada ajaran Ataturk ini tidak membiarkan dan menjatuhkan pemerintahan Erbakan. Namun yang pasti Erbakan sudah berjasa besar meletakkan batu asas, dan ini diulanginya kembali semasa kembali memerintah pada awal tahun 1990-an.
Berbeza dengan Parti AK yang baru setahun ditubuhkan oleh anak-anak muda, terus memenangi pilihan raya, kerana puluhan tahun lamanya sebelum parti ini ditubuhkan, mereka telah membangun kekuatan dan kefahaman kepada masyarakat Turki yang begitu sekular, tetapi pada masa yang sama masih ada sebahagian rakyat Turki yang merindukan kembali pengamalan Islam dan mahu Islam kembali hidup dan subur di negara bertuah ini.
Agaknya pengalaman anak-anak muda ini, yang dulunya adalah para pengikut Erbakan, antaranya Tayyip Erdogan, Abdullah Gul, Bulent Aring mengambil kebijakan yang lebih tawaduk dan sangat berhati-hati memikirkan jangka panjang gerakan Islam di Turki, mereka membangun kekuatan yang pada zahirnya tidak begitu nampak, tetapi hasilnya semakin jelas dan nyata.
Ini tentunya menjadi pengajaran kepada gerakan Islam di Indonesia dan Malaysia, bagaimana gerakan Islam di Turki dengan tribulasi dan pengalaman pahitnya sedemikian rupa, ini tidak menonjolkan kulitnya tetapi lebih mengutama isi; subtansi dan konten. Ini sudah tentu bersambungan dengan penyebaran Risalah An Nur dengan jemaah An Nur, kekuatan mereka adalah membangun madrasah-madrasah terutama berdekatan dengan kampus-kampus dan sekolah tinggi yang ada di Turki.
Madrasah itu kini sudah berjumlah lebih 2,000 buah, ia bukan berupa sekolah tetapi institusi pendidikan tidak formal berupa asrama untuk pelajar laki-laki dan perempuan yang tinggal secara berasingan, hari-hari mereka berkuliah, tetapi di asrama ini mereka dijarkan ilmu dan penghayatan Islam secara terancang, berterusan dengan usrah, halaqah dan sudah pasti dimantapkan dengan tamrin dengan qiyamullail.
Gerakan inilah yang berterusan sampai ke hari ini, mereka yang tamat pengajian dan sudah dapat pekerjaan, tetapi mereka tidak lupa melatih pelajar baru sebagai pelapis. Ini lebih hebat lagi berjalan setelah berdirinya Yayasan Hayrat yang diasaskan oleh salah seorang murid Badiuzzaman pada tahun 1974. Pemimpin utamanya kini yang menjadi Mursyidul Amnya atau di Turki dipanggil Hoja adalah Syeikh Said Mustafa Nuri, seorang wali sufi yang mulutnya tidak berhenti berzikir dan bertasbih, namun tidak suka menonjolkan diri, kurang suka tangannya dicium apalagi bertepuk tangan setelah mendengar ucapannya.
Yayasan inilah bersama jemaah An Nur membangun sebanyak yang boleh madrasah, dan ditambah dengan kekuatan baru iaitu Maktab Irfan yang menerbitkan al-Quran, buku-buku Islam terutama buku-buku karya Badiuzzaman baik Risalah An Nur dan puluhan bukunya yang lain, pengikut jemaah ini semakin ramai dan menyebar ke seluruh Turki. Kira-kira 20 tahun lalu mereka yang mendengar pengajian akan ditangkap dan dipenjarakan tujuh tahun, yang menganjurkan dan penceramah akan dikenakan penjara selama 10 tahun ke atas.
Yang menyimpan Quran kecil berisikan Juzuk Ama saja akan dipenjarakan selama 7-10 tahun, apalagi mereka yang berdakwah menyampaikan Islam dan menghuraikan al-Quran akan mengalami nasib yang sama. Kini, Turki Negara Dua Wajah ini sudah berubah wajah, daripada wajah sekular kembali ke wajah Islam, menemukan kembali identiti dan jati dirinya sebagai umat dan kekuatan Islam, negara tempat berpusatnya Kekhalifahan Uthmaniah yang membentang sampai ke utara dan timur bahagian Eropah, ke barat sampai Afrika, ke timur sampai ke Turkmenistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Uzbekistan, dan ke selatan serta tenggara kerajaan Uthmaniah yang menguasai dunia Islam lebih 600 tahun sampai menguasai India dan malahan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara, baik di Indonesia mahupun Malaysia.
Kerajaan Uthmaniah mengingatkan kita akan sejarah kebesaran Sultan Muhammad Al Fatih, anak muda yang daripada kecil sudah diasuh dan diasah dengan ajaran al-Quran, Hadis, menguasai bahasa Arab, bahasa-bahasa Eropah dan bahasa Ibrani, hebat dengan kefahaman tentang matematik serta menguasai ilmu peperangan. Pada umur 16 tahun sudah menjadi panglima dan pada umur 21 tahun memimpin penyerbuan merebut kota Konstatinople daripada tangan pemerintahan Rom, panglima ini kemudian menjadikan kota baru ini yang begitu lama dikuasai oleh kerajaan Byzantium Timur ini ditukar namanya menjadi kota Islambul, kota Islam, dan pada masa Ataturk ditukar lagi menjadi Istanbul. Panglima ini menjadi Sultan pada umur 29 tahun dan meninggal dunia pada usia 49 tahun.
Kekuatannya adalah kerana berkat asuhan ayahnya Sultan Murad II yang taat beragama dan alim. Al Fatih diasuh oleh seorang wali Syeikh Samsuddin Al Wali yang merupakan keturunan daripada sahabat Rasulullah-Khalifah Ar Rasyidin pertama Sayidina Abu Bakar As Shiddiq. Pada masa kecil sehari-harinya diisi dengan mengaji al-Quran dan ilmu Islam lain serta pengetahuan am, yang diperlukan oleh seorang panglima dan sultan di kemudian hari.
Ternyata perjuangan dan warisan Al Fatih kembali hidup dan subur di negaranya. Bumi Turki yang subur dengan banyaknya masjid yang dibangun dengan indah dan cantik, dalaman masjidnya yang menawan dengan lukisan, ukiran dan khat al-Quran yang membuat kita syahdu dan terpukau melihatnya bagaimana di negara ini boleh melahirkan orang-orang kreatif menampilkan kehebatan dan keindahan seni bina dan seni lukis Islam yang tidak dipunyai oleh orang lain.
Jika dahulu sekularisasi berasal dari bandar-bandar menuju ke kampung-kampung, dan kini secara perlahan dakwah Islam yang datang dari bandar cuba mengeluarkan doktrin penentang Islam ini dari kampung-kampung, dan salah satu kekuatan Turki dari dulu adalah maahad tahfiz yang ada di merata tempat, dan kini maahad tahfiz tumbuh di mana-mana, dan ternyata umat Islam mempunyai seni baca al-Quran dengan gaya dan intonasi berlainan daripada biasa kita dengar, menjadikan telinga terpegun membuatkan hati menjadi syahdu dan tenang, adakalanya suara dan lagu merdu Quran yang diperdengarkan menjadi bulu roma kita berdiri. Kini, wajah dan cahaya Islam itu kembali nampak dan memperlihatkan sinarnya, dan sepatutnya umat Islam ikut membantu gerakan Islam Turki untuk menyampaikan obor Islam ini ke benua Eropah, paling tidak dengan doa dan harapan.
Sebelum Parti AK berkuasa, pendapatan perkapita rakyat Turki setahun adalah AS$3,000,- kini sudah meningkat menjadi AS$10,000, dan pertumbuhan ekonomi Turki kini mencapai 14 peratus setahun. Erdogan dan partinya mempunyai perancangan yang jelas untuk membangun Turki baru dengan kekuatan Islamnya menampilkan Islam Wasathiah, mengetuk hati semua orang dan menampakkan wajah Islam dengan cahaya dan kedamaian, pengalamannya pernah menjadi Datuk Bandar Istanbul memberikannya ilmu dan pengalaman dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan yang bersih, telus, terbuka. Tawaran tender-tender bernilai 100 juta lira Turki akan disiarkan di dalam akhbar-akhbar dan tender berjumlah 100 juta lira Turki ke bawah akan diumumkan melalui radio dan televisyen, selain itu ini bermula semenjak Erdogan menjadi Datuk Bandar kebersihan kotanya begitu nampak ini dimulakan sendiri oleh Erdogan ikut mengutip sampah di jalan-jalan kota Istanbul.
Dan kini Turki muncul sebagai salah satu negara Islam yang paling demokratik dan terbuka, dengan pemerintahan yang mesra rakyat, betul-betul mengutamakan dan mendahulukan rakyat, bukan seronok menaikkan harga barang untuk mengenakan rakyat, kebebasan media dan akhbar betul-betul dinikmati sebagai kemerdekaan baru, setelah jatuhnya rejim diktator Ataturk dan para penerusnya, tiada halangan dan sekatan untuk berpolitik dan berdakwah, apa sahaja parti politik boleh berkempen, bebas bergerak. Kini, Turki akan menuju era baru seterusnya, apalagi pada 12 Jun ini negara Turki akan mengadakan pilihan raya umum, dan dengan keberhasilan, kegemilangan, keteladanan, mengutamakan rakyat dan bergerak bersama menghayati Islam, Parti AK kembali akan menjadi pilihan dan menguasai majoriti Parlimen.
Perjalanan kami belum berakhir, catatan ini dibuat di kota Bursa, ibu kota pertama kekhalifahan Uthmaniah, kami menghadiri Simposium Antarabangsa yang ke-4 Baiuzzaman Said Nursi dan Risalah An Nur yang dianjurkan oleh Yayasan Hayrat, bersama Wadah-ABIM dan Persatuan Pertubuhan Islam Antarabangsa, tunggu laporan tentang seminar ini dalam keluaran akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan