Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata perubahan kepimpinan yang berlaku dalam pemilihan PAS kali ini disebabkan muktamar yang diadakan berdekatan dengan pilihan raya.
"Muktamar diadakan dekat dengan pilihan raya, oleh itu ahli cederung memilih pemimpin terlibat dengan segmen masyarakat dan kemasyarakatan.
"Perwakilan lebih cenderung kepada aktivisme, iaitu (memilih) mereka yang telibat secara langsung dengan masyarakat.
"Tidak bermakna yang tidak cukup undi, tidak ada aktivisme, tetapi perwakilan (dilihat) lebih cenderung ke arah itu," katanya.
Sebagai contoh, katanya, ahli jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman mendapat undi tertinggi dalam pemilihan jawatan tersebut dengan 804 undi kerana terlibat bersama perjuangan peneroka Felda.
"Penglibatan beliau dalam Persatuan Anak-anak Felda (ANAK) untuk mengubah minda peneroka. Walaupun secara umumnya tidak berjaya secara menyeluruh, tetapi usaha yang dipelopori mendapat penghargaan perwakilan di seluruh negara," katanya.
Perubahan biro
Dalam pemilihan PAS bagi sesi 2011-2013, Mohamad menang dalam perebutan tiga penjuru dengan menewaskan penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan bekas naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan timbalan presiden.
Mohamad mendapat 420 undi, Nasharudin memperolehi 224 undi, manakala Tuan Ibrahim meraih 399 undi.
Ketika ditemui Malaysiakini dan Harakah selepas diumumkan kemenangannya, Mohamad menyatakan kegembiraan, terharu dan "terbayang-bayang tanggungjawab" yang akan dipikul bersama-sama dengan rakan sejawatan.
"Apa yang disebut dalam tawaran bersama dalam mengepalai parti iaitu untuk mengembangkan pengaruh PAS kepada bukan Melayu dan non-muslim," katanya.
Ditanya perubahan yang akan dilakukan selepas ini, katanya perubahan secara menyeluruh tidak ada, tetapi "mungkin ada" dari sudut biro walaupun tidak menyeluruh.
Katanya, PAS juga akan memperkukuhkan peranannya dalam Pakatan Rakyat dan NGO dalam usaha untuk menuju ke arah negara berkebajikan untuk rakyat.
'Bertenggek' atas kepimpinan ulama
Dalam temuramah itu juga, beliau juga menyatakan kehairanannya berhubung media massa yang dikuasai Umno yang membuat liputan mengenai kepimpinan ulama menjelang muktamar.
"Apa maksud mereka? Umno meletakkan (ulama) dalam satu biro. Kita letak dibawah majlis syura dan dewan ulama. Jadi kita kuat, teguh dan wibawa," katanya.
Katanya, perubahan kepimpinan yang berlaku sedikit sebanyak merubah persepsi masyarakat umum bahawa PAS tetap terjaga di bawah kepimpinan ulama.
Bercakap mengenai agenda memperkasakan ulama, Mohamad berkata beliau amat mengagumi beberapa ulama dalam dan luar negara termasuk dua bekas presiden PAS Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor.
Mohamad berkata beliau tidak bersetuju dipanggil ulama yang didakwanya "bertenggek atas nama kepimpinan ulama" sedangkan mereka tidak menonjolkan sifat-sifat atau menterjemahkan diri sebagai pewaris Nabi Muhammad SAW.
Beliau juga berharap kepada perwakilan dan penyokong untuk terus bekerkas dan menterjemahkan dan melaksanakan ucapan dasar presiden secepat mungkin dalam usaha untuk menguasai Putrajaya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan