"Pada masa dahulu PAS hanyalah dilabel sebagai parti kain pelikat atau parti orang kampung. Di pandang konservatif, kolot dan ekstrem. Tetapi pada tahun 1982, setelah Anwar keluar dari ABIM dan memilih UMNO sebagai platform 'politik Islam'nya, ramai di kalangan profesional maupun agama yang berada di dalam ABIM yang cintakan Islam, merasa tertipu dengan Anwar. Maka mulalah mereka bertebaran mengikut arah masing masing dan ada setengahnya memilih PAS sebagai wadah perjuangan, di antaranya adalah almarhum presiden PAS sendiri, Ustaz Fadhil Nor.
Sungguhpun peristiwa kemasukan profesional ke dalam PAS telah berlaku pada masa Anwar meninggalkan ABIM, namun ianya masih belum boleh dikatakan menonjol dan belum mengubah persepsi awam terhadap PAS. Pandangan konservatif dan kolot belum berjaya dibuang sepenuhnya atau mungkin baru menampak sinar yang kecil.
Tetapi bermula pada tahun 1999, ketika Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO, ditendang keluar dari UMNO dengan cara yang agak hina, cahaya perubahan mula menyinar di dalam PAS.
Peristiwa UMNO menghina dan menganiaya Anwar ini bukan sahaja menyedarkan para golongan agama di dalam UMNO yang menjadi pengikut Anwar tetapi juga para golongan profesional. Mereka semua mula nampak betapa kejinya perangai sebenar UMNO.
Sungguhpun Anwar tidak memilih PAS setelah ditendang dan dihina, dengan menubuhkan parti sendiri(PKR), ramai para pengikutnya atau bukan pengikutnya mula memilih PAS. Ahli agama atau profesional secara drastik memilih PAS sebagai wadah perjuangan politik. Di antara yang agak lambat tetapi memilih PAS adalah Dr Harun Din.
Bermulanya kemasukan ramai golongan profesional ini, maka PAS merasa bangga dan merasa bertuah kerana benteng 'parti kolot atau ekstrem' telah berjaya diruntuhkan.
Lalu bermula dari itu ramailah golongan doktor dan jurutera atau golongan profesional lain diangkat menjadi pemimpin. Malah ada ramai juga di kalangan mereka diletakkan sebagai calon dan menang pilihanraya.
Kedatangan mereka pada saat itu diterima dengan hati terbuka. Boleh dikatakan disebabkan golongan profesional inilah, maka benteng 'pandangan kolot' terhadap PAS telah berjaya diruntuhkan terus.
Lalu sedikit demi sedikit PAS diangkat sebagai wadah utama untuk perjuangan Islam. Kalau dulu UMNO juga dianggap sebagai perjuangkan Islam, kini ia ketinggalan sama sekali dengan imej PAS.
PAS tidak lagi menoleh kebelakang hingga ia mampu menjadi padangan utama kaum melayu. Malah menjadi sebaliknya pula, bila kaum bukan Islam dan bukan melayu juga telah memilih PAS. PAS telah diangkat sebagai kelas pertama manakala UMNO pula telah diturun menjadi kelas kedua dari persepsi keikhlasan dan kesetiaan terhadap melayu dan Islam. Hinggakan UMNO berulangkali menghulur tangan memohon talian hayat dari PAS. Cuma masa sahaja yang menentukan bila UMNO akan menyembah bumi.
Kini, pada tahun 2011, pada muktamar yang kesekian kali ini, maka ucapan ucapan dari para ulama mula menggambarkan kebimbangan. "Pilihlah pemimpin dari kalangan ulama", "pilihlah pemimpin yang bertakwa", "jangan hanya pilih yang petah berpidato" dan macam macam ucapan lagi, yang berlainan tetapi maksudnya hanya satu: pilih orang yang disukai mereka.
Kenapa dikatakan pemimpin yang disukai mereka? Kerana Ust Nasa jugadari golongan ulama tetapi mereka tetap memujuk Tuan Ibrahim untuk bertanding.
Tidak ada salahnya ucapan para pemimpin yang mengucapkan pilih dikalangan orang yang bertakwa dan pilih di kalangan orang yang tinggi ilmu agamanya. Yang salah adalah niat disebalik kata kata itu. Ada yang tersembunyi. Kerana pada pandangan ramai tentu semua tahu,para calon yang bertanding macamana jiwa mereka cinta terhadap Islam.
Jika para ulama di dalam PAS menganggap memilih calon yang profesional ini adalah salah dan akan merosakkan PAS, ternyata golongan ulama ini telah melakukan kesilapan selama lebih kurang 30 tahun. Maka sepatutnya bermula dari sekarang lakukanlah satu langkah untuk meminggirkan sedikit demi sedikit golongan profesional di dalam PAS. Hingga akhirnya golongan profesional ini dapat dihapuskan terus dari PAS.
Dan pada ketika itu PAS akan kuat, kerana yang tinggal hanyalah pemimpin pemimpin yang 'beriman dan bertaqwa sahaja' dan ulama sahaja yang meneraju PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan