Panah Hijau
Sebuah akhbar harian Inggeris asyik sahaja menggunakan istilah 'puak Erdogan' bila merujuk kepada sekumpulan pemimpin PAS yang bukan ulama. Nama ahli-ahli 'puak Erdogan' ini pun ada disenaraikan dalam akhbar harian tersebut.
Para pemberita akhbar harian Inggeris ini menulis bahawa kononnya puak ini adalah agresif dan mempunyai matlamat dan halatuju yang berlainan dari puncak pimpinan parti PAS seolah-olah puak ini adalah satu puak baru yang wujud untuk mengancam cara pentadbiran dan organisasi dalam PAS.
Sebagai pemerhati politik selama lebih dari dua dekad, saya disini ingin mengatakan bahawa perjuangan PAS adalah konsisten dan tidak pernah berganjak dari perlembagaannya cuma sekarang pendekatannya adalah berlainan sedikit iaitu bersesuaian dengan era Politik Baru yang merangkumi perjuangan untuk keadilan bagi semua pihak tanpa mengira agama atau bangsa.
Oleh itu, tidak wujud sama sekali 'puak Erdogan' dalam PAS tetapi hanyalah golongan profesional yang bukan ulama. Golongan profesional ini mempunyai idea-idea baru yang kukuh untuk memantapkan parti supaya PAS dapat meraih sokongan dari semua lapisan masyarakat dan idea-idea baru ini adalah perlu dan relevan untuk perjuangan PAS pada masa kini.
Pada masa ini apabila BN kuat memainkan sentimen perkauman, parti PAS lah yang merupakan parti yang berani mengambil langkah untuk memadamkan api sentimen perkauman dan meredakan keadaan.
Dalam isu penggunaan kalimah Allah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, PAS telah berani menonjolkan pendirian yang teguh berasaskan kepada ajaran Islam sementera pihak UMNO diam membisu seribu bahasa.
Dalam zaman perjuangan PAS kali ini dimana PAS berjuang bersama dengan PKR dan DAP atas wadah Pakatan Rakyat, perwira-perwira PAS digalakkan menggunakan idea-idea baru yang innovatif untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit dari pihak musuh dimana fitnah dan politik durjana digunakan oleh pihak musuh dengan sewenang-wenangnya.
Untuk mengharungi cabaran ini, pemimpin-pemimpin PAS, ahli-ahli dan penyokong serta rakan-rakan PAS mestilah sama-sama menyumbang idea dan menggembeleng tenaga, tidak kira dari kumpulan ulama ataupun bukan ulama.
Janganlah terpedaya dengan media arus perdana yang hanya bertujuan melaga-lagakan para pemimpin dalam PAS kerana itulah hasrat terpendam mereka.
Rakyat Malaysia mestilah tahu bahawa hanya wujud 1 puak sahaja dalam PAS, iaitu puak yang akan bekerja bertungkus-lumus untuk menjadikan BN sebagai puak pembangkang.
Justeru itu, harapan saya adalah supaya pemimpin-pemimpin ulama dan profesional sama-sama akan diberi peluang untuk mengetuai bala tentera di medan pertempuran Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.
PANAH HIJAU
2hb Jun 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan