"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Batal PKR: RoS Diheret Ke Mahkamah





KUALA LUMPUR, 31 MEI: Parti Keadilan Rakyat hari ini menfailkan permohonan di mahkamah untuk membatalkan notis Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengharamkan parti itu dengan menggunakan peruntukan perlembagaan PKR yang tidak wujud dan maklumat salah.

Naib Presiden parti N. Surendran yang menfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,  mendakwa ROS berniat jahat dan mempunyai agenda tersendiri apabila menghantar notis pembatalan PKR pada 9 Mei lalu.

Surendran mendakwa RoS diperalatkan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) untuk menekan PKR demi mengekalkan kuasa pemerintahannya pada  pilihanraya umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"RoS hanya mengikut telunjuk Kerajaan (BN). Pada tahun 1998, Saifuddin Nasution yang kini Setiausaha Agung PKR, Roslan Kassim dan beberapa lagi telah dipecat serta-merta oleh UMNO kerana dilihat berada di rumah Anwar Ibrahim. Anwar sendiri dipecat serta merta oleh UMNO(tanpa menerusi prosedur Lembaga Displin). Mengapa ROS tak hantar notis ketika itu?," kata Surendran. 

Surendran menjelaskan selain permohonan semakan semula pembatalan RoS yang difailkannya, beliau juga memohon Perintah Larangan bagi memastikan RoS tidak menguatkuasakan notis pembatalan itu selagi semakan kehakiman tidak dilakukan.

Selain Surendran, PKR turut diwakili oleh R. Sivarasa, Latheefa Khoya dan Fadiah Nadwa Fikri.

Awal Mei lalu, PKR menerima notis pembatalan pendaftaran partinya  kerana didakwa telah memecat seorang ahli bernama A. Jayagopal pada April tahun 2009 tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Displin parti itu. Notis itu akan berkuat kuasa 9 Jun ini.

Namun peruntukkan yang dirujuk RoS itu tidak terkandung dalam perlembagaan parti.  Malah nama ahli yang dipecat juga adalah salah.

Tindakan RoS itu juga disifatkan pimpinan PKR sebagai berniat jahat dan bertujuan mengekang penyertaan parti itu pada pilihanraya umum ke-13 yang dijangka akan dipanggil tidak lama lagi.

Surendran berkata fasa perlembagaan PKR yang dirujuk oleh RoS tidak wujud, manakala nama ahli yang dipecat adalah salah. Beliau berkata ahli yang dimaksudkan oleh R0S dipecat pada tahun 2009 dan RoS jelas berniat jahat kerana mengambil tindakan hanya sekarang.

"Hal ini berlaku pada 2009 tapi mengapa tahun 2011 baru nak beri notis?. Adakah kerana UMNO BN terdesak kerana kurang sambutan rakyat yang menyebabkan mereka cuba mensabotaj dan melumpuhkan PKR dan PR sebelum pilhan raya?. Banyak persoalan di sini," kata beliau lagi.

Tambah Surendran lagi, cubaan mengharamkan parti pembangkang hanya merupakan taktik pemerintahan diktator.

"Di Burma atau Mnyanmar, Junta yang berkuasa mengharamkan NLD, parti Aung San Suu Kyi. Di Afrika Selatan pula pihak pelampau Apartheid kulit putih mengharamkan Parti Nelson Mandela? Adakah UMNO nak guna cara ini," kata beliau. 

Mahkamah dijangka akan mengambil masa seminggu bagi memproses permohonan PKR itu sebelum menetapkan tarikh pendengaran kes.
-tvsnews-

Tiada ulasan: