Hishamuddin Aun
Kurang 14 hari daripada pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat pada 26 Feb ini, pembangkang — di sebalik cakap berdegar-degar mereka sebelumnya — belum lagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk ia dijadualkan. Namun, adakah apa-apa yang menghairankan? Ramalanku benar belaka, harus Anwar terfikir demikian.
Jika mahu diingati, deras sekali sembang Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini. Sejak melepaskan jawatan Ketua Pemuda PAS untuk bergelar ketua penerangan parti itu dalam muktamar tahunannya di Shah Alam pada 20-22 Okt tahun lalu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu nampaknya meneruskan kelantangannya.
Dengan ketiga-tiga naib presiden – Idris Ahmad, Mohd Ammar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar – dilihat agak berat mulut dalam menyuarakan isu-isu nasional melainkan barangkali diarahkan, tinggallah Fadhli menjadi ‘trompet’ parti agar tidaklah semuanya terbeban pada Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Sanusi Nor untuk menimbulkan keriuhan. Presiden Hadi Awang pula boleh dimaafkan kerana harus lebih bimbangkan kesihatannya akhir-akhir ini.
Cuma, dalam memperkatakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Fadhli seperti sengaja mengada-adakan alasan. Dicabar untuk mengambil langkah itu bulan lalu jika mahu menumbangkan kerajaan, beliau mendakwa tiada jaminan usul tidak percaya terhadap Anwar akan diterima untuk dibahas dan diundi di Dewan Rakyat. Sebagai alternatif, Fadhli menegaskan mereka akan menimbangkan kaedah lain yang dibenarkan Perlembagaan.
Kenyataannya itu cuma separuh benar. Bukankah ada ungkapan bahawa sesuatu yang separuh benar itu lebih buruk daripada pembohongan? Jika frasa itu dijadikan kayu pengukur, maka mungkin lebih baik Fadhli berbohong saja daripada mengelirukan ramai — tapi pemimpin PAS tidak boleh bohong.
Mungkin benar ada usul dibawa pembangkang sebelumnya ditolak speaker tapi bukan berkaitan usul undi tidak percaya. Seperti ditempelak Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Anwar sudah ‘membuka ruang’ sebanyak dua kali untuk berdepan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Kali pertama ialah pada 19 Dis 2022 apabila usul undi percaya terhadapnya diluluskan dengan undian suara dan berselang kurang lima bulan pada 5 Mei 2003, Anwar mengulangi gesaan supaya pembangkang membuktikan jumlah sokongan bagi menubuhkan kerajaan baharu. Sebaliknya, jelaslah ia cuma alasan pembangkang sebagai menutup kekurangan sendiri.
Rabu lalu, Speaker Johari Abdul berkata Dewan Rakyat belum menerima sebarang usul tidak percaya terhadap perdana menteri daripada pembangkang, 14 hari menjelang pembukaan sidang terdekat ini agar usul itu dapat dimasukkan dalam aturan mesyuarat. Pembangkang, katanya, hendaklah juga mengkaji dan faham peraturan mesyuarat supaya lebih mengetahui proses keputusan menerima dan menolak usul dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan tidak harus menuduh sembarangan.
Bagaimanapun, ia bukan bermakna pembangkang sudah ketinggalan bas. Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi seperti yang berlaku sekarang — hanya tinggal sembilan hari sebelum sidang bermula — mereka masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.
Seperti ditegaskan Anwar sebelumnya, beliau sedia memendekkan tempoh memfailkan notis kepada tiga hari berbanding 14 hari jika pembangkang mempunyai sokongan mencukupi bagi membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen. Kerajaan perpaduan sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat, namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu. “Sudah lama kita tunggu (usul tidak percaya) sudah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa. Kalau dia (PN) ada (cukup sokongan) tunggu masa Parlimen nanti, bawalah SD (akuan berkanun). Usulkan di Parlimen tiada masalah. Ini tiap-tiap minggu mengigau,” katanya.
Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan konon perdana menteri tiada lagi majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, dengan merujuk kepada Langkah Dubai. Langkah Dubai pun kesudahannya dah jadi ‘Langkah Do Bye’ seperti disindir dan ditular di media sosial kerana ia digambarkan sebagai gembar-gembur semata-mata.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang terawal menggesa PN pada 10 Jan lalu supaya segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar menjelang sidang Dewan Rakyat 26 Feb ini sekiranya benar-benar serius mahu menguji keabsahan Anwar. Beberapa penganalisis politik juga senada dengan mencadangkan kaedah terbaik untuk menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar hanya boleh dilaksanakan di Dewan Rakyat. Maksudnya jangan hanya cakap berdegar-degar di luar tapi tiada langkah susulan di dalam Dewan.
Hassan berkata penyokong dari blok kerajaan tidak perlu mengemukakan usul undi percaya kerana mereka yakin Anwar mempunyai majoriti untuk terus menjadi perdana menteri. Barangkali apa yang tidak ditimbulkannya ialah jumlah Ahli Parlimen PN juga semakin berkurangan dengan enam daripada mereka sudah beralih kepimpinan di sebalik mengekalkan keahlian parti selain beberapa lagi yang didakwa akan menyusuli langkah serupa.
Anwar pula masih tidak berganjak daripada kepercayaannya bahawa pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya, sebaliknya sekadar terus memainkan propaganda bagi mengaburi penyokong mereka sendiri. Setakat ini, Anwar belum dibuktikan tersilap dengan majoriti lebih 2/3 dimilikinya kerana kalau pun benar pembangkang ada cukup jumlah seperti yang mereka mahu ramai percaya, mereka akan siap berbaris lama sebelum pintu pagar besar ke Parlimen dibuka.
Sebenarnya, tidak pun perlu tunggu sidang hari pertama pada 26 Feb ini atau mesyuarat pertama Parlimen yang akan berlanjutan 19 hari hingga 27 Mac nanti kerana pembangkang tidak akan memiliki kekuatan — apatah lagi keberanian — untuk mengemukakan usul bagi menguji keabsahan Anwar sebagai perdana menteri.
Seperti dirumuskan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, sebarang percubaan PN untuk mempertaruhkan tindakan itu hanya akan mendedahkan semakin merosotnya angka sokongan di pihak mereka.
“Ini kerana pembangkang tidak cukup angka lagi. Angka yang mereka nyatakan sebelum ini hanya khayalan. Oleh itu, apabila sidang Dewan Rakyat bermula nanti, pembangkang tidak akan bentangkan usul undi tidak percaya seperti dicanang-canangkan,” katanya.
Cuma, ia akan menjadi kerugian besar buat pembangkang jika mereka tidak menggunakan kesempatan ini. Sekiranya usul tidak percaya pun gagal dikemukakan mereka, ia bermakna pembangkang tidak layak untuk mempertikai keabsahan Anwar lagi selepas ini. Kerana pada perdana menteri, ramalannya benar belaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan