"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelucahan melampau, ‘Ustaz Budak’ kekal dipenjara 13 bulan

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang bekas mudir sebuah madrasah di Machang, Kelantan, yang sedang menjalani hukuman penjara 13 bulan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel gagal untuk mengetepikan hukuman itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 21 Nov 2023.

“Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan pemohon (Syamsul). Oleh itu, permohonan kebenaran merayu ditolak,” kata Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Bekas mudir itu menjalani hukuman penjara pada 21 Nov 2023 selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkannya menjalani hukuman itu serta-merta, selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 bulan dijatuhkan Mahkamah Majistret pada 9 Mac 2023.

Memandangkan kes itu dari Mahkamah Majistret, Syamsul dikehendaki mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan, mengikut Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Lelaki itu yang digelar “Ustaz Budak”, didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun, termasuk mencium pipi mangsa di sebuah hotel di Kota Bharu pada 1.15 pagi, 16 Dis 2020, mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Sebelum in, Syamsul didakwa atas lebih 10 kes membabitkan jenayah seksual terhadap beberapa lelaki termasuk pelajarnya dan kes itu masih di peringkat perbicaraan.

Terdahulu, peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri yang mewakili Syamsul berhujah terdapat percanggahan keterangan berhubung masa kejadian dan pihak pendakwaan gagal membuktikan secara tepat masa berlakunya kejadian kelucahan melampau, seperti dalam pertuduhan.

“Ini kerana pengadu yang juga mangsa dalam laporan polisnya menyatakan pada 1.15 pagi, beliau baru tiba di perkarangan hotel miliknya bersama pemohon (Syamsul).

“Selain itu, terdapat keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan bahawa pengadu tidak berada di dalam bilik hotel, pada masa seperti mana pertuduhan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd Jaafar berhujah walaupun terdapat percanggahan keterangan, namun majistret mempertimbangkan keterangan itu dan mendapati percanggahan tersebut tidak bersifat material.

“Elemen yang penting di dalam kes ini ialah perlakuan seksual dan identiti pelaku. Pemohon mengaku berada di tempat kejadian, namun tindakannya menafikan perbuatan yang dilakukan merupakan penafian semata-mata,” katanya.

Tiada ulasan: