"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib lantik KP SPRM baharu untuk henti siasatan SRC, 1MDB, kata saksi

V Anbalagan
Saksi kata Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai ketua pesuruhjaya badan antirasuah pada Julai 2016 menggantikan Abu Kassim Mohamed.
KUALA LUMPUR: Seorang saksi bagi pihak pendakwaan beritahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib Razak lantik ketua pesuruhjaya SPRM baharu untuk henti siasatan ke atas kes rasuah SRC International dan 1MDB.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin kata Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai ketua pesuruhjaya badan antirasuah itu pada Julai 2016, menggantikan Abu Kassim Mohamed.

“Saya terima arahan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas 1MDB. Saya tak ingat siapa beri arahan itu. Saya perlu tengok kertas siasatan,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pada Julai 2015, satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC), SPRM, Bukit Aman, dan Bank Negara memulakan siasatan susulan laporan bahawa jutaan dolar AS diremit dari luar negara ke akaun-akaun peribadi Najib.

Aida beri keterangan bahawa Abu Kassim digantikan untuk melindungi Najib — yang pada ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan — daripada siasatan dan pendakwaan kes SRC dan 1MDB.

Pada masa itu, kedua-dua syarikat itu milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Najib akhirnya didakwa pada 2018 selepas Pakatan Harapan menang PRU14.

Mahkamah hari ini juga mendengar sembilan rakaman audio perbualan yang dikata melibatkan Najib; isterinya, Rosmah Mansor; Dzulkifli; dan bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pihak pendakwaan mendakwa rakaman itu menunjukkan Najib mahu menggagalkan siasatan 1MDB dan SRC selepas pasukan petugas khas mula bekerja.

Dalam satu rakaman, Dzulkifli yang ketika itu bersama AGC, beritahu Azeez, yang dekat dengan Najib, berkenaan siasatan ke atas SRC dan 1MDB.

Aida berkata siasatannya juga mendedahkan Good Star, Blackstone, Tanore Finance Corporation, dan Vista Equity International ada kaitan dengan 1MDB.

“Good Star milik Low Taek Jho, atau Jho Low, manakala yang lain milik Tan Kim Loong,” katanya.

Menurut Aida, siasatannya juga mendedahkan sejumlah USD100 juta bukan daripada suatu keluarga diraja Arab.

“Juga tiada keterangan bahawa beliau (Najib) memberitahu telah menerima sumbangan daripada penderma, Raja Abdullah,” katanya.

Aida berkata sejumlah USD620 juta yang Najib pulangkan pada Ogos 2013 hanya pergi ke Tanore Finance.

Katanya, Najib juga tidak pernah membuat sebarang laporan kepada polis atau SPRM terhadap Jho Low atau mana-mana pegawai 1MDB semasa jadi perdana menteri.

Najib menghadapi 25 pertuduhan berkaitan salah guna kedudukan dan pengubahan wang, membabitkan USD681 juta (RM2.28 bilion) didakwa dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Kes didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Tiada ulasan: