"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita tak senang hati Ebit Lew paksa hantar gambar

Bernama

TENOM: Seorang wanita berusia 40-an hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia berasa tidak senang hati apabila pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memaksanya untuk menghantar beberapa keping gambar.

Saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu dalam kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin dalam pemeriksaan utama meminta saksi itu membacakan kandungan mesej yang dihantarnya kepada Lew iaitu “da msj kt IG” pada tangkap layar aplikasi WhatsApp.

Wanita itu berkata dia menghantar mesej tersebut untuk meluahkan rasa tidak senang hati dan berdosa kerana di belakang suami, dia melayan Lew yang memaksanya untuk menghantar beberapa keping gambar.

Antara kandungan mesej yang dihantar ialah “mesej ni pun just nak cakap je, langsung tidak minta maaf dengan saya sebab buat yang tidak sepatutnya dengan saya, paksa saya bagi gambar macam-macam, bodohnya saya ikut.”

Saksi itu berkata pada awalnya dia melihat tertuduh sebagai orang yang baik dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan serta tidak menyangka Lew sanggup berbuat demikian kepadanya.

Wanita itu berkata dia juga menyesal kerana pernah menjadikan Lew sebagai idolanya kerana pendakwah itu kini dilihat sebagai seorang pendosa.

Pada prosiding hari ini, saksi itu selesai membuat pengecaman ke atas 436 keping gambar yang diekstrak daripada telefon bimbit miliknya.

Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 20 Mei depan.

Tiada ulasan: