"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hari Raya Aidilfitri sebagai jati diri orang Melayu

Zin Mahmud

Minggu depan, umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri. Secara perlembagaan negara, identiti orang Melayu terletak pada anutan agama Islam, penggunaan bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu. Dalam adat budaya inilah terletaknya sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak ada dokumen rasmi yang menggariskan apakah itu adat budaya Melayu. Soal bahawa orang Melayu menganut agama Islam dan menggunakan bahasa Melayu adalah jelas tetapi adat budaya Melayu itu bersifat luas dan tidak jelas. Apakah yang dikatakan mengamalkan adat budaya itu terletak pada makanan, pakaian, majlis perkahwinan atau sifat berbudi pekerti?

Namun apa yang dimaksudkan dengan orang Melayu tentunya turut merangkumi keluarga besar orang Melayu yang terdiri daripada Bumiputera Islam seperti Orang Asli dan pelbagai suku kaum Sarawak dan Sabah. Ia juga turut merangkumi komuniti yang asalnya bukan orang Melayu tetapi sudah menjadikannya demikian melalui proses asimilasi.

Dengan beragama Islam dan menutur bahasa Melayu, mereka mudah melalui asimilisasi ini. Walaupun dari segi adat budaya, mereka kekal mengamalkan warisan dari keturunan mereka. Ini ternasuklah mereka yang berketurunan India, Pakistan, Arab, Cina, Siam, Kemboja dan ada juga hasil daripada kahwin campur dengan orang Eropah dan juga Jepun. Bagi mereka yang berasal dari keturunan suku kaum Nusantara seperti Aceh, Minang, Mandailing, Jawa, Sunda, Bawean, Banjar, Bugis, Madura dan Lombok, proses asimilasi untuk menjadi Melayu adalah lebih mudah.

Tetapi apa yang jelas ialah Hari Raya Aidilfitri merupakan suatu yang amat penting bagi individu Melayu untuk disambut setiap tahun sepanjang hayatnya. Baik seseorang Melayu itu berada di tanah airnya, atau di luar negara, Hari Raya Aidilfitri akan mengetuk perasaan pada jiwanya. Ia merupakan hari kebesaran paling utama bagi orang Melayu, dan sekaligus merupakan sebahagian daripada identiti dan jati diri bangsa.

Dalam konteks sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi institusi nasional yang mana kaum lain, iaitu Cina, India dan kaum-kaum di Sarawak dan Sabah turut meraikannya dengan kunjung-mengunjung rakan atau jiran mereka yang beragama Islam. Seperti mana orang Melayu turut serta dalam perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali sebagai sebahagian daripada budaya sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni.

Pada Hari Raya, tiga ciri adat budaya bangsa terserlah dengan sendirinya iaitu makanan, pakaian dan budi pekerti kerana pertemuan keluarga besar menuntut seseorang supaya berbudi bahasa. Walaupun perubahan zaman dan tuntutan perubahan membezakan sambutannya pada masa ini berbanding tahun-tahun terdahulu, teras adat Hari Raya adalah tetap apa yang diamalkan secara turun-temurun.

Suatu ketika dahulu, Hari Raya Aidilfittri dipanggil sebagai Hari Raya Puasa. Ia tidak boleh disebut sebagai Hari Raya saja sebab orang Melayu ada dua Hari Raya. Maka perlu dibezakan antara Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Nama itu mengaitkan hari kebesaran itu dengan ibadat iaitu puasa dan haji.

Saya sering terfikir bagaimanakah agaknya pendakwah dulu memujuk orang Melayu melaksanakan ibadah puasa hinggakan kini ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat. Sehinggakan orang Melayu berasa lebih hampir dengan puasa berbanding sembahyang. Mungkinkah janji bahawa sambutan Hari Raya Aifilfitri yang meriah bagi orang berpuasa adalah sebahagian daripada dorongan kolektif. Ini kerana dalam komuniti Islam di negara-negara lain, sambutan mereka tidaklah sehebat apa yang dilakukan oleh orang Melayu.

Walaupun solat hari raya adalah sunat tetapi ia amat penting bagi orang Melayu. Malah ia menjadi suatu kemestian untuk menunaikannya. Hinggakan bagi mereka yang tidak taat menunaikan kewajipan solat lima waktu pun, dia terdorong untuk melaksanakannya sekurang-kurangnya setahun sekali.

Maka solat Hari Raya Aidilfitti adalah kemuncak bagi kehidupan seseorang Melayu. Ia ditunaikan secara berjemaah di masjid dengan pakaian tradisional Melayu, iaitu baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah banyak orang pakai jubah dan kurta yang merupakan pakaian tradisional Arab dan Pakistan. Bagi pekerja asing beragama Islam yang bukan Melayu seperti orang Bangladesh yang kini sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia, tentulah mereka lebih selesa berpakaian menurut budaya sendiri.

Alunan takbir Hari Raya orang Melayu juga berbeza daripada orang Arab. Ia mendayu-dayu meruntun perasaan orang Melayu untuk berasa sedih mengingatkan ibu bapa dan ahli-ahli keluarga yang sudah tiada. Walaupun kata-kata dalam takbir itu sebenarnya laungan bersemangat untuk berjuang demi agama. Mesti ada sebab mengapa pendakwah zaman silam memilih irama takbir ini untuk orang Melayu. Alunan takbir ini digunakan oleh orang Islam di seluruh Nusantara meliputi Thailand Selatan, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Istilah Hari Raya Puasa mengandungi perkataan “hari raya” dan “puasa”. Perkataan “hari raya” dipercayai sememangnya asal Melayu, maknanya ia bukan asal Arab atau Sanskrit, dua bahasa yang amat dekat dengan bahasa dan budaya Melayu. Ia bermaksud hari kebesaran. Ada suatu ketika saya di Bali, seorang penduduk tempatan yang beragama Hindu di sana menceritakan bagaimana mereka memiliki banyak “hari raya” dalam setahun.

Tidak pula ditemui catatan bagaimana orang Melayu menyambut “hari raya” sebelum datangnya agama. Besar kemungkinan seperti banyak masyarakat tani yang lain, hari raya disambut ketika berakhir musim menuai. Semasa mengamalkan kepercayaan animisme, mereka mungkin menyembah semangat padi. Apabila datang agama Hindu-Buddha, sambutan hari raya mungkin seperti apa yang dilakukan oleh orang Bali pada waktu ini. Namun bagaimana bermulanya orang Melayu menyambut Hari Raya Puasa ketika datangnya Islam tidak pula tercatat di mana-mana dokumen, baik pada manuskrip arau artifak.

Namun “puasa” adalah berasal dari perkataan bahasa Sanskrit iaitu “upuvasa” yang bermaksud berada hampir dengan Tuhan atau Alam, Cara untuk hampir ialah dengan menahan diri daripada nafsu atau kehendak iaitu makanan dan perbuatan seks.

Dalam bahasa Arab, puasa disebut “saum”. Perkataan puasa terus digunakan walaupun dalam tahun-tahun 1990-an penggunaan perkataan Arab semakin bertambah dalam masyarakat Melayu dengan menggantikan istilah bahasa Sanskrit. Perkataan sembahyang umpamanya sudah digantikan dengan solat. Berbuka puasa sudah sering digantikan dengan iftar. Kenduri kahwin dengan walimatul urus. Selamat hari jadi digantikan dengan Sanah Helwah. Malah ada orang sudah menggantikan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dengan Idul Fitri dan Idul Adha tanpa perkataan “hari raya”.

Namun walaupun masakan Arab dari Yaman amat popular di kalangan orang Melayu sejak tahun 2000-an dengan munculnya banyak restoran Arab, tetapi bila hari raya, apa yang dicari-cari ialah ketupat, lemang dan rendang. Makanan ini membuatkan orang gembira dan senang hati. Pun begitu, spageti dan kabonara sudah juga mula dihidangkan semasa hari raya.

Dari segi makanan, di Semenanjung pun terdapat perbezaan antara negeri. Johor berbeza daripada Kelantan. Begitu juga Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang juga mempunyai makanan tradisi masing-masing.

Ketupat berbentuk anyaman daun kelapa mempunyai kedudukan kuat di Johor, begitu juga di semua wilayah yang pernah berada di bawah Kesultanan Johor-Riau iaitu Singapura dan wilayah-wilayah Melayu di Sumatera. Ketupat ini popular juga di Jawa, Bali dan pulau-pulau di Nusa Tenggara. Adalah dipercayai ketupat sudah ada sebelum datangnya agama-agama. Malah di Timur Timor yang beragama Kristian. Kelihatan mereka menjaja ketupat menjelang sambutan Krismas.

Sementara ketupat daun palas pula popular di negeri-negeri utara semenanjung Malaysia dan Thailand Selatan.

Budaya Melayu sekaligus hari rayanya disambut di Malaysia, Singapura, Sumatera, Thailand Selatan dan Brunei. Begitu juga tentunya komuniti orang Melayu di Pulau Christmas, Australia serta keluarga-keluarga diaspora di Britain dan Amerika Syarikat.

Namun tunggak perayaan hari raya adalah keluarga dan kampung. Keluarga diketuai oleh orang yang paling tua seperti moyang, datuk-nenek dan ibu. Kampung halaman adalah di mana orang paling tua itu tinggal. Ziarah pusara ibu bapa, datuk dan nenek juga merupakan suatu amalan yang juga penting pada hari raya.

Walaupun sudah banyak Orang Melayu tinggal di bandar, tetapi kebanyakannya masih mempunyai kampung sebagai asal usulnya. Jiwa kampung tetap ada walaupun sudah lama menetap di bandar. Sebab itu juga “balik kampung” itu amat penting. Di Indonesia, perkara sana juga berlaku. Mereka memanggilnya “mudik".

Cara orang bandar berhari raya tentulah berlainan. Orang Melayu bukan saja berlumba-lumba balik ke kampung, tetapi mereka yang di bandar berusaha pula membawa budaya kampung ke bandar. Ini kerana Hari Raya Aidilfitri adalah hari jati diri orang Melayu. Budayanya adalah kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturahim, yang akan terus mengikat dan menyatukan bangsa.

ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tiada ulasan: