"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beradik dalam perjalanan ke sekolah maut dilanggar lari

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Tular
KEADAAN motosikal dinaiki mangsa dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Tular
Sungai Siput: Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian kira-kira 7.10 pagi itu berlaku ketika penunggang motosikal, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, dalam perjalanan ke sekolah.

Kedua-duanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit dari arah Kuala Kangsar menghala Ipoh memasuki simpang ke sebelah kanan iaitu di persimpangan Taman Desa Salak secara tiba-tiba.

Menurutnya, ia menyebabkan kenderaan itu merempuh motosikal Honda EX5 dua pelajar itu yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mereka adalah disebabkan 'polytrauma with suspected neck injury/cervical fracture'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khaizam berkata, polis kini sedang giat mengesan pemandu dan pemilik kenderaan 4x4 itu, dan sehingga kini belum membuat laporan berhubung kemalangan itu.

"Orang ramai yang menyaksikan kemalangan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani di talian 014-5073473 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, jenazah dua beradik itu disolatkan di Masjid Kariah Salak (U), Kampung Perik, di sini oleh kira-kira 200 jemaah selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor, di sini.

Tiada ulasan: