"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anthony Loke: Puluhan ribu dijangka banjiri lapangan terbang esok

Bernama

SEPANG: Puluhan ribu penumpang dijangka membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 mulai esok hingga malam Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, waktu kemuncak penumpang mula balik kampung menggunakan pengangkutan udara ialah esok dan Ahad kerana ramai mengambil cuti sempena perayaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April.

“Sabtu dan Ahad dijangka paling sibuk kerana kebanyakan ambil peluang cuti pada Isnin dan Selasa. Kebanyakan penerbangan sudah penuh hingga 9 April,” katanya usai majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama AirAsia dari Kuala Lumpur ke Miri di KLIA Terminal 2.

Loke berkata, tiga syarikat penerbangan iaitu AirAsia, Malaysia Airlines, dan Batik Air mendapat sambutan tinggi dengan muatan penuh sejak tiga minggu lalu terutama bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur ke Tawau.

Beliau turut meraikan pekerja sektor pengangkutan udara termasuk juruteknik kerana mengorbankan masa dan cuti raya mereka bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Loke juga berkata, inisiatif penerbangan lewat malam AirAsia memanfaatkan 22,000 penumpang ke Sarawak dengan tambang tetap pada RM298 sehala dan RM348 ke Sabah.

Beliau berkata, 122 penerbangan lewat malam AirAsia yang bermula hari ini hingga 14 April bukan sahaja memastikan penerbangan mencukupi sempena Aidilfitri, malah penumpang dapat nikmati tambang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Bo Lingam pula berkata inisiatif penerbangan tambahan lewat malam merupakan komitmen syarikat penerbangan itu bagi memastikan tambang berpatutan dapat dinikmati oleh semua lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

“Hari Raya merupakan antara tempoh paling sibuk bagi AirAsia dengan lebih 500 penerbangan harian akan berlepas dari semua hab AirAsia,” katanya.

Beliau berkata, semua hab AirAsia dijangka menyaksikan kebanjiran penumpang sebanyak 75,000 bermula esok dengan 40,000 daripada mereka di KLIA Terminal 2.

Tiada ulasan: