"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar Tingkatan 3 cedera dibelasah 20 individu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Gara-gara perselisihan faham, seorang pelajar Tingkatan 3 lebam seluruh badan dan muka dipercayai dibelasah sekumpulan individu termasuk 20 pelajar sekolah, dalam kejadian di Melaka akhir bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata kejadian dikesan selepas satu video tular di media sosial sejak semalam yang menunjukkan insiden pergaduhan di
Pantai Puteri, Tanjung Kling itu.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 29 Mac lalu yang berpunca kerana perselisihan faham dan rasa tidak puas hati berpunca daripada tindakan ejek-mengejek.

“Polis menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu selepas mendapati cucu lelakinya yang berusia 15 tahun dipukul oleh sekumpulan lelaki dikenali di Pantai Puteri sehari sebelumnya, kira-kira 1 tengah hari.

“Pengadu kemudian membawa cucunya untuk rawatan di Hospital Melaka dan mangsa kini masih dirawat,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, bertindak atas laporan, pihaknya menjalankan siasatan dan menahan 23 individu berusia 15 hingga 20 tahun di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak, kelmarin bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek yang berumur di bawah 18 tahun adalah pelajar dari sekolah berbeza di sekitar kawasan Tanjung Kling.

“Kes disiasat Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kita turut merampas tiga topi keledar serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar.

Tiada ulasan: