"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua anggota polis ugut lelaki di BSI ditahan

Omar Ahmad
bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang terbabit dalam insiden pemerasan seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ditahan tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata anggota berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Katanya, IPD JBS menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.23 tengah malam tadi berhubung kejadian terbabit.

"Siasatan awal mendapati ketika mangsa berusia 29 tahun melalui BSI untuk pemeriksaan Imigresen, dia ditahan suspek kononnya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Suspek memeras ugut mangsa supaya membayar wang sejumlah RM2,000 bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua anggota polis tersebut negatif dadah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa di Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pagi tadi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 April lalu.

Mangsa mendakwa ditemani seorang anggota polis untuk ke beberapa mesin ATM bagi mengeluarkan duit, biarpun sudah menyatakan tiada wang dalam akaun.

Tindakan mangsa yang berpura-pura sesak nafas selepas mengambil wang RM1,000 di sebuah bank di Taman Pelangi berjaya melepaskannya dengan bantuan pasangan tempatan yang melalui kawasan itu.

Tiada ulasan: