"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib perlu buat PRU ke-14 serentak dengan PRN S’wak

Joe Leong
Tidak perlu dikatakan lagi, Malaysia kini sedang melalui saat terdesak dan berliku. Sedihnya, masih ada yang percaya dalam keadaan seperti ini, tindakan terdesak seperti mencadangkan Ahli Parlimen paling lama, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri baru adalah sesuatu yang absah.
Dr Mahathir Mohamad tanpa henti mendesak Najib Razak memberi laluan kepada pemimpin Umno Baru lain untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Tokoh DAP Lim Kit Siang pula membuat percubaan terdesak untuk membentuk kumpulan ahli parlimen baru daripada kedua-dua pihak dalam rancangan “Selamatkan Malaysia”-nya.
Maka pencarian besar-besaran untuk perdana menteri baru pun bermula! Menang, kuasa dan tugas besar itu sedia untuk diambil sebaik sahaja Najib menyerah kepada tekanan dan letak jawatan.

Pertarungan untuk kedudukan tertinggi ini sudah beralih ke dimensi baru, apabila timbalan Najib sendiri, Muhyiddin Yassin secara terbuka mempersoalkan penggunaan wang Tabung Haji berjumlah RM188.5 juta untuk mengurangkan beban kewangan 1MDB.

Muhyiddin merasakan kerajaan perlu segera memberi jawapan kepada rakyat yang mahukan tindakan konkrit dan segara berhubung isu itu yang menurutnya sudah menjadi ‘toksik’ dan menyebabkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

Ini adalah tanda paling jelas, dua individu tertinggi pentadbiran negara kini bertentangan pendirian – seorang hanya membisu dan seorang lagi mengatakan orang ramai patut mengetahui kebenarannya segera.

Masalah dengan Malaysia adalah pemimpin negara tidak peduli dan patuh kepada prinsip dan amalan demokrasi. Jika dibandingkan, Malaysia barangkali lebih muda daripada negara-negara Komanwel lain. Namun itu bukan alasan untuk mengabaikan apa yang betul dan salah. Peluang sentiasa wujud untuk belajar daripada negara yang memiliki sejarah perkembangan politik dalam demokrasi yang lebih panjang, seperti Australia.

Misalnya, negara boleh belajar beberapa perkara daripada Paul Rudd, perdana menteri Australia sebanyak dua kali (2007-2010, 2013). Ketika timbalannya Julia Gillard ingin mencabarnya pada 2010 dalam kepimpinan Parti Buruh, beliau sedar akan kalah lalu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Namun tiga tahun kemudian, selepas Gillard mengumumkan satu lagi undi kaukus pada 2013, Rudd membuat kemunculan semula dan menang, seterusnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri untuk kali kedua.

Pemimpin politik di Malaysia terbukti sudah hilang tujuan dan arah. Kedudukan dalam parti pemerintah atau kerajaan sepatutnya tentang kebolehan mereka merangka dan menjalankan dasar dan rancangan untuk kebaikan negara.

Apabila pemimpin gagal melakukannya, mereka dijangka dan malah wajib meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada orang lain yang lebih baik.

Di sini, pemimpin yang dengan jelas gagal berkhidmat secara degil berpaut kepada jawatan dan kuasa tanpa peduli untuk membuat perkara yang betul dan bermaruah.

Sebab itulah keadaan politik negara kini tidak stabil.

Mahathir telah katakan, walaupun ada yang “lebih layak” daripada Muhyiddin untuk mengambil tempat Najib, jika beliau memutuskan untuk letak jawatan, lebih baik untuk kekal dengan tradisi demi mengekalkan kestabilan parti.

Menurut tradisi Umno, timbalan presiden biasanya menjadi presiden dan pada masa sama perdana menteri dan pengerusi BN.

Pencarian calon yang lebih layak daripada Muhyiddin itu telah mencetuskan tanggapan Ku Li sebagai calon jawatan itu.

Ku Li baru sahaja menyambut ulang tahunnya ke-78 pada 13 April lalu. Usia bukanlah masalah. Di China dan Jepun, hanya mereka yang berusia melebihi 72 tahun dianggap sebagai politikus veteran.

Namun terimalah hakikat bahawa Ku Li sudah pun mendapat peluang untuk memegang jawatan itu. Pada 1987, beliau mencabar Mahathir dalam pemilihan Umno dan gagal, walaupun tipis. Perpecahan itu menyebabkan mahkamah mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram, dan ia berpecah kepada dua entiti.

Pada 1990, parti Semangat 46 pimpinan Ku Li menubuhkan Barisan Rakyat bersama-sama DAP dan Parti Rakyat Malaysia, dan membentuk kerjasama dengan PAS, Berjasa, Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia.

Di Borneo, Ku Li berjaya mendapatkan sokongan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai Joseph Pairin Kitingan. PBS meninggalkan BN di saat akhir sebelum PRU pada tahun itu. Walaupun dengan gabungan dan kerjasama itu, parti Ku Li gagal dalam PRU itu, dengan hanya menang 8 daripada 180 kerusi.

Pada 1996, Ku Li membubarkan Semangat 46 dan kembali kepada Umno. Beliau membuat satu lagi percubaan untuk bertanding jawatan presiden pada 2004 namun gagal mendapat pencalonan yang cukup.

Kebimbangan lebih besar warga Malaysia di Borneo adalah berhubung penglibatan Ku Li sebelum ini dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), di mana beliau dilantik sebagai pengerusi dan Ketua Eksekutif pada 1974.

Ku LiKu Li
Ketika itulah, semasa Ku Li mengetuai syarikat berkuasa ini, kerajaan persekutuan merangka Akta Pembangunan Petroleum (APP) yang mewajibkan negeri pengeluar minyak dan gas untuk menyertai perjanjian perkongsian hasil sumber petroleum dengan kerajaan persekutuan.

Dalam ucapannya dengan ahli Royal Asiatic Society cawangan Malaysia pada September 2013, Ku Li berkata yang Sabah dan Sarawak meletakkan “pendirian sukar” apabila negeri terlibat diminta menyertai perjanjian seumpama itu di bawah APP.

Menurut Ku Li, perjanjian APP yang tidak ditandatangani menghalang semakan perjanjian Malaysia oleh kerajaan persekutuan pada 1973, sepuluh tahun selepas penubuhan Malaysia.

Akhirnya, kedua-dua ketua menteri negeri Borneo menandatangani dokumen itu, bersetuju dengan lima peratus hasil petroleum. Sejak itu, warga Sabah dan Sarawak hidup dalam penyesalan.

Sarawak kini mahukan kadar itu dinaikkan kepada 20 peratus dan Ketua Menteri Adenan Satem baru-baru ini berkata, perbincangan dengan pegawai Petronas adalah sukar. Beliau patut sedar sejak awal lagi bahawa ia adalah langkah yang salah.

Rundingan sepatutnya berasaskan kerajaan dengan kerajaan – kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan. Satu kesilapan untuk berunding dengan Petronas yang hanyalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, sebuah entiti yang semestinya bermatlamatkan pendapatan kasar dan keuntungan.

Bagi Sabah pula, ada banyak persoalan yang tidak terjawab seputar hal-hal yang membawa kepada perjanjian APP. Perjanjian itu berlaku tidak lama selepas nahas misteri pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan nyawa bekas Ketua Menteri Tun Fuad Stephens dan beberapa lagi pemimpin negeri.

Dalam ucapannya bertajuk ‘Minyak Sabah Siapa Punya?’ di Kota Kinabalu pada 2 April 2010, Ku Li membuat pendedahan menggemparkan apabila berkata, beliau diminta pada saat akhir untuk meninggalkan kapal terbang yang terhempas itu. Ia membangkitkan lebih banyak persoalan. Setakat ini, tiada laporan rasmi berhubung nahas itu yang dibuka kepada orang ramai. Mengapa?

Maka, warga di negeri Borneo pasti sangat tidak selesa dengan seseorang seperti Ku Li sebagai perdana menteri.

Pendapat saya, penyelesaian bagi Najib untuk melepaskan diri daripada pergelutan kepimpinan politik ini adalah untuk mendapat mandat baru dengan mempercepatkan PRU ke-14 serentak bersamaan dengan pilihanraya negeri Sarawak yang perlu dilakukan paling lewat tahun hadapan.

Itu pasti akan dapat membawa keharmonian kepada semua negeri di Malaysia, apabila PRU dan PRN dijalankan serentak untuk kali pertama, dan dijadikan amalan pada masa akan datang.

Langkah bijak dan demokratik seperti itu akan menyelesaikan persoalan siapakah yang akan menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.

Datuk Joseph Leong Sai Ho adalah anak Sarawak yang tinggal di Sabah sejak 1966.
-antdaily-

Tiada ulasan: