"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib sendiri punca masalah

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri semakin diragui manakala dakwaan Presiden Umno itu kononnya yakin mendapat sokongan kuat daripada rakyat tidak berpijak di bumi nyata.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, apa yang dianggap Najib sebagai fitnah berleluasa dan banyak pihak di luar cuba melagakan Umno menggambarkan kegagalan Menteri Kewangan itu untuk cuba memahami dan menangani keresahan majoriti rakyat.

Najib dalam kenyataan di Facebook rasmi miliknya pada 12 Mei lalu dipetik sebagai berkata, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara menyokong kepimpinannya sebagai Presiden parti itu serta mendakwa perjuangannya adalah bagi Malaysia yang maju dan adil.

“Perjuangan apa kalau satu demi satu isu berlaku semakin mengukuhkan tanggapan rakyat betapa teruknya tahap tata kelola kerajaan Umno-BN.

“Semuanya terdedah di depan mata kita tanpa berselindung lagi daripada skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), masalah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan sekarang ini penyelewengan pendeposit Tabung Haji,” ujarnya ketika dihubungi Harakah, 12 Mei lalu.

Sementara itu, pada 11 Mei lalu, Najib dalam kenyataan di Facebook berkata, mandat yang diberikan kepadanya melalui proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat serta anggota Umno di seluruh negara.

“Saya sedar akan tohmahan dan kritikan yang dilemparkan ke arah kepimpinan kini. Setiap pemimpin menghadapi cabaran berbeza, tidak terkecuali saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang serangan Tun Mahathir terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, Mujahid berkata, khabar angin yang mendakwa berlakunya rombakan Kabinet jika benar sekalipun berlaku masih jauh daripada mampu menyelesaikan kepincangan kerajaan Umno-BN.

“Najib sendiri apa jaminan supaya telus kalau dia masih di situ? Kita tahu orang yang sama dalam Tabung Haji juga dalam 1MDB. Najib sendiri punca masalah yang berlaku.

“Rombak Kabinet bukan jawapannya. Macam wayang opera Cina. Pelakon watak puteri disolek dan dibedak tebal. Solekan saja tidak mengubah apa-apa,” ujarnya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, dakwaan Najib yang kononnya tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan dalam progam Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri, 10 Mei lalu juga dilihat tindakan terdesak tetapi mengaibkan dirinya.

Hal ini, jelasnya, desakan kumpulan pro-Mahathir supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dilihat tidak membawa sebarang perubahan lebih baik kepada rakyat.

“Rakyat perlukan pemerintahan baru yang belum lagi pernah diuji di peringkat Persekutuan iaitu Pakatan Rakyat,” tambahnya lagi.
-detikdaily-

Tiada ulasan: