"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tinjauan Mkini: Belanja isi rumah melonjak lepas GST


Perbelanjaan purata isi rumah pada bulan pertama pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), meningkat sehingga 21 peratus dalam beberapa kategori, demikian menurut pembaca Malaysiakini yang mengambil bahagian dalam kaji selidik portal itu bulan lepas.

Responden diminta memasukkan tahap perbelanjaan mereka bagi sembilan kategori sebelum GST, dan berbuat demikian sekali lagi sebulan selepas GST dilaksanakan, untuk mengukur kesan cukai baru itu kepada kehidupan harian mereka.

Kerajaan sebelum ini mendakwa GST akan menurunkan harga senarai panjang barangan dan perkhidmatan dengan alasan kadar enam peratus cukai itu lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan sebelumnya, yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan.

Bagaimanapun, kaji selidik itu menunjukkan hanya perbelanjaan rekreasi sahaja yang telah turun. Walaupun begitu, ia mungkin bukan disebabkan oleh harga yang lebih murah, tetapi pengguna menjimatkan perbelanjaan mereka.

Dalam beberapa kes, responden melaporkan memotong bajet rekreasi mereka antara RM350 kepada RM70 sebulan.

Secara keseluruhan, jumlah perbelanjaan purata bagi sembilan kategori yang dikaji selidik itu, meningkat sebanyak 3.8 peratus (daripada RM4,306 kepada RM4,472), dengan sebahagian besar responden bergaji bantara RM3,000 hingga RM10,000.

Belanja pengangkutan paling melonjak

Daripada sembilan kategori itu, perbelanjaan pengangkutan mencatatkan lonjakan tertinggi, dengan tambahan kos purata 21 peratus.

Tidak jelas mengapa perkara itu berlaku memandangkan bahan api yang paling biasa digunakan di Malaysia, RON95, dikecualikan GST.

Manakala kenaikan tambang bagi sesetengah pengangkutan awam hanya berkuatkuasa pada bulan Mei.

Keputusan bagi kategori lain:
Belanja keseluruhan naik

Walaupun isi rumah mengalami peningkatan dan pengurangan kos, bergantung kepada kategori, namun kebanyakan responden melaporkan kenaikan keseluruhan dalam perbelanjaan isi rumah pada bulan pertama pelaksanaan GST.

Menurut angka dari responden, 61 peratus mengalami kenaikan keseluruhan dalam perbelanjaan isi rumah, sesetengahnya setinggi 143 peratus, manakala hanya seorang responden mendapati semuanya kekal sama.

Selebihnya menyaksikan penurunan perbelanjaan isi rumah - penurunan terbesar sebanyak 53 peratus.

Lebih 1,000 pembaca berkongsi perbelanjaan mereka sebelum GST, tetapi kurang 10 peratus yang terus berkongsi anggaran perbelanjaan mereka dalam bulan pertama selepas pelaksanaan GST.

Banyak jawapan dikeluarkan daripada set data kerana tidak kelihatan berwibawa. Sebagai contoh, seorang responden berkata dia menghabiskan beberapa ribu ringgit sebulan bagi barangan runcit sebelum GST, tetapi membelanjakan kurang daripada RM100 selepas cukai itu berkuatkuasa.


Dalam contoh lain, jawapan ditandakan sebagai "tidak berkenaan" bagi kategori tertentu kerana ia kelihatan disebabkan oleh perubahan keadaan, dan bukan disebabkan oleh perubahan dalam harga atau tambang. Sebagai contoh, satu keluarga melaporkan berbelanja RM800 untuk pengangkutan anak ke sekolah sebelum GST, tetapi tidak lagi selepas GST.


Oleh itu, penjumlahan muktamad membabitkan 67 pembaca Malaysiakini yang jawapan yang dianggap boleh diterima untuk dianalisis, mungkin tidak menggambarkan pengalaman GST keseluruhannya.

Adakah ia mencerminkan pengalaman sebenar anda? Kongsilah dengan mengulas di ruangan komen bawah, di Facebook, Twitter Malaysiakini atau emel pada editor@malaysiakini.com.

Tiada ulasan: