"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakej Ransngan Ekonomi Hina Sabah Sarawak

Parti Progresif Sabah (SAPP) berpendirian pakej rangsangan ekonomi kedua yang dibentang Menteri Kewangan Najib Abdul Razak tidak memberi kesan besar kepada ekonomi Sabah, bahkan memperkecilkan sumbangan Sabah kepada ekonomi negara.

Presidennya Datuk Yong Teck Lee berkata peruntukan pembangunan prasarana RM1.2 bilion kepada Sabah dan Sarawak dari keseluruhan pakej RM60 bilion itu satu penghinaan kepada rakyat Sabah."

"Sekiranya jumlah RM1.2 bilion ini dibahagikan sama-rata antara Sabah dan Sarawak, kita hanya menerima RM600 juta untuk dua tahun akan datang," kata Yong dan menambah jumlah sekecil RM600 juta ini hanyalah 1 peratus dari keseluruhan RM60 bilion itu.

Sabah adalah negeri kedua terbesar dan antara penyumbang utama ekonomi negara melalui hasil kelapa sawit, getah, koko, balak dan pelancongan. Disebalik sumber asli yang kaya, Sabah bagaimanapun negeri termiskin dengan pengangguran mencecah 5.6 peratus - yang tertinggi di Malaysia - dan paras kemiskinan 16 peratus - juga yang tertinggi di negara ini.

"Setiap kali Belanjawan Persekutuan dibentangkan, pemimpin-pemimpin BN negeri automatik dan penuh taat setia memuji-muji Menteri Kewangan tanpa memikirkan apakah peruntukan belanjawan ini adil kepada Sabah dan rakyat Sabah," kata Yong.

Pendirian ini terbukti benar apabila Ketua Menteri Musa Aman sendiri memohon lebih banyak wang sejurus selepas pakej rangsangan II dibentang di Parlimen, kata Yong.

"Kita lihatlah bagaimana berbilion-bilion ringgit ini akan memanfaatkan Sabah," kata Yong dan  menambah SAPP akan memantau pengagihan pakej rangsangan II ini bagi memastikan rakyat Sabah tidak ditipu pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, SAPP menegaskan kerajaan seharusnya membantu memacu ekonomi Sabah dengan mengurangkan atau menarik-balik caj pengangkutan yang dikenakan Kerajaan Persekutuan bagi melindungi monopoli syarikat-syarikat perkapalan tempatan keatas aliran barangan ke Sabah.

Perlindungan ini, yang dikenali sebagai Dasar Cabotage, menyebabkan harga barangan jauh lebih tinggi di Sabah dari harga sewajarnya. Di kawasan pedalaman khususnya, masyarkat pedalaman sukar mendapatkan barang makanan dan keperluan harian kerana harganya yang tinggi.

"Demikian kerana Kerajaan Pusat mahu melindungi pemilik-pemilik kapal, maka kerajaan seharusnya bersikap adil dan mensubsidikan caj pengangkutan barangan ke Sabah," tegas Yong.

Dasar Cabotage ini telah membantutkan ekonomi Sabah sehingga menyebabkan negeri itu bergantung kepada belas ehsan kerajaan Pusat, kata Yong.

"Sekiranya kerajaan Pusat boleh mensubsidikan pengguna-pengguna lebuhraya di Kuala Lumpur, mengapa kerajaan tidak bersikap adil dengan mensubsidikan kos kehidupan yang tinggi akibat dari Dasar Cabotage ini," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu lagi.

Dengan mengambil contoh bekalan padi beras, Yong berkata Sabah dan Sarawak telah mensubsidikan monopoli beras Bernas sebanyak RM400 juta setahun selama lebih 10 tahun.

"Sekiranya kerajaan Pusat menggunakan wang itu untuk menggalakkan penanaman padi di Sabah, kita mungkin sekali akan mencapai penghasilan padi-beras yang mencukupi untuk bekalan domestik tanpa perlu bergantung kepada negeri lain. Sebaliknya, kita mensubsidikan monopoli Bernas yang dikawal Umno untuk mengimport beras," kata Yong.

Selain itu, penguna-pengguna Sabah terpaksa menanggung kos produk yang membebankan seperti tambang kapal terbang, media cetak, tarif elektrik dan barangan import.

SAPP turut dukacita tidak ada peruntukan dari pakej RM60 bilion ini untuk membina hospital di Kota Kinabalu, membangunkan pengangkutan awam, atau menambahbaik pelabuhan dan pembekalan air dan elektrik.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: