"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM10 Billion Bangunkan Semula Klang, Kajang, Petaling Jaya

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan mengadakan satu seminar yang dihadiri pakar dari dalam dan luar negara bertujuan membincangkan rancangan untuk membangunkan semula bandar Kelang pada April ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perancangan pembangunan semula bandar Kelang adalah salah satu daripada pakej ransangan yang membabitkan kos RM10 bilion untuk membangunkan semula tiga kawasan di Selangor iaitu Klang, Kajang dan Petaling Jaya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan seminar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kawasan DUN Ser Andalas dan Parlimen Kota Raja, Klang di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah/ Daerah Klang, di sini pagi tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri menjemput pakar-pakar perancangan bandar terutamanya daripada golongan muda yang berkaliber supaya datang membincang dan menerangkan bagaimana mereka boleh menterjermahkan konsep baru pembangunan semula Klang.

"Saya juga ada menerima beberapa permintaan dari pakar pakar perancangan bandar untuk menyertai seminar yang bakal diadakan, antaranya seorang anak melayu tempatan yang sekarang berkerja di Florida, Amerika Syarikat dan kini terbabit dengan perancangan bandar di TianJin, China.

Ada juga seoarang lagi kenalan yang menjadi pensyarah perancangan bandar dari Massachuset Institute of Technology (M.I.T) yang berminat untuk menyertai perbincangan ini," kata Tan Sri Khalid lagi.

Selain daripada itu, katanya beliau juga ada menerima permintaan daripada  pelabur kewangan antarabangsa yang sanggup mencari pembiayaan kewangan untuk membiayai projek pembangunan semula Klang.

"Jelas sekali terdapat ramai pakar dan juga pelabur kewangan yang berminat untuk membangunkan semula bandar Klang dan kita boleh bincang bersama-sama untuk merangka rancangan pembangunan semula Klang," tambah beliau lagi.

Beliau menambah perancangan projek tersebut termasuk membersihkan semula Sungai Klang dan projek berkenaan akan mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk disiapkan.

Menurutnya Klang dibangunkan sejak 150 tahun  dan kerana itu bandar berkenaan adalah tempat yang tidak berapa sesuai dengan keadaan sekarang serta tidak mempunyai karektor tertentu yang signifikan.

Sehubungan itu, tambah Menteri Besar lagi adalah wajar mengaitkan Klang dengan sungainya sambil memberi contoh kota London terkenal dengan sungai Thames dan pengwujudan karektor berkenaan boleh diusahakan  dengan langkah membersihkan Sungai Klang.

Menurutnya, usaha-usaha pembersihan Sungai Klang boleh dimulakan mulai tahun ini dan menjangkakan usaha tersebut mungkin mengambil masa lima hingga 10 tahun.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: