"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedudukan Hishammuddin merosot?

Tindakan Lembaga Disiplin Umno melarangkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden telah mengubah senario sokongan politik terhadap calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno, khususnya bagi jawatan timbalan dan naib presiden.

Dengan peluang Tan Sri Muhammad Muhd Taib kini dilihat semakin cerah memenangi jawatan timbalan, tetapi kedudukan Datuk Seri Hishammuddin Hussein - yang sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan - telah merosot dan terkeluar dari tiga calon teratas.

Tanggapan bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Mohd Ali yang dilihat sebagai penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka Hishammudin yang merupakan sepupu Datuk Seri Najib Tun Razak, turut terkena tempiasnya.

Di samping itu, Hishammuddin - selaku menteri pelajaran - juga dilihat tidak tegas dalam menangani bantahan supaya dimansuhkan program pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Dengan tinggal enam hari sahaja lagi berlangsungnya pemilihan bagi jawatan timbalan dan naib presiden serta kerusi Majlis Tertinggi, kecenderungan perwakilan menunjukkan Datuk Shafie Apdal mendahului senarai calon yang bertanding jawatan naib presiden.

Tempat kedua kini diduduki oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi manakala Datuk Khaled Nordin di tempat ketiga.

Hishammuddin kini difahamkan berada di tempat keempat.

Tiga pemenang teratas akan terpilih sebagai naib presiden, manakala dua lagi disandang oleh ketua Pemuda dan ketua Wanita Umno.

Manakala Datuk Seri Rais Yatim pula berada di tempat kelima, diikuti oleh Datuk Syed Hamid Albar, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Tan Sri Isa Samad.

Bagi jawatan ketua Pemuda pula, Khairy Jamaluddin dikatakan menjadi pilihan utama, dengan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengekori rapat di belakang.

Beberapa pemimpin Umno berpendapat walaupun Mukhriz mendapat pencalonan terbanyak  tetapi majoriti perwakilan yang akan mengundi bagi memilih ketua Pemuda Umno minggu depan, lebih cenderung kepada Khairy.

Menurut mereka, selain kelebihan Khairy sebagai naib ketua Pemuda Umno, perkembangan politik semasa juga memihak kepadanya.

"Ini ekoran timbulnya tanggapan berlakunya pertembungan antara penyokong bapa mertuanya, Abdullah dengan penyokong  Najib.

"Walaupun perkara ini telah dinafikan oleh pucuk pimpinan tetapi ia tidak dapat menghakis 100 peratus tanggapan tersebut di kalangan para perwakilan," kata seorang pemimpin Umno.  

-malaysiakini-

Tiada ulasan: