"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peluang Muhd Taib menang cerah

Seandainya Datuk Seri Mohd Ali Rustam gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno melarangnya bertanding, ramai yang meramalkan bahawa peluang seorang lagi calon, Tan Sri Muhammad Muhd Taib adalah cerah untuk memenangi jawatan timbalan presiden minggu depan.

Ini kerana pada masa ini, Mohd Ali difahamkan sedang mendahului sokongan berbanding dengan Muhd Taib dan seorang lagi calon, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, sokongan yang diperolehi Mohd Ali mencecah 55 peratus, manakala Muhyiddin 35 peratus dan Muhd Taib 10 peratus.

umno supreme council special meeting 260809 muhammad mohd taibKalangan pemimpin Umno berpendapat sekiranya, Mohd Ali gagal dalam rayuannya, mereka percaya para penyokongnya akan mengalih sokongan mereka kepada Muhd Taib.

"Berdasarkan perkiraan tersebut, peluang untuk Tan Sri Muhd Taib untuk menang adalah cerah," kata seorang pemimpin Umno.

Ditanya mengenai kemungkinan penyokong Mohd Ali beralih sokongan kepada Muhyiddin, beliau berkata, ramai yang berpendapat apa yang berlaku sekarang dianggap usaha untuk mengenepikan penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Datuk Seri Mohd Ali dan Tan Sri Muhd Taib dianggap sebagai penyokong kuat Pak Lah. Jika Mohd Ali diketepikan pastinya, sokongan para penyokongnya akan beralih kepada Tan Sri Muhd Taib," tambahnya.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno mengumumkan bahawa Mohd Ali Rustam dilarang bertanding selepas didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno. Bagaimanapun, Mohd Ali tidak digantung keahliannya dalam Umno.

umno anggapan kebersalahan pihak ketigaKetua Menteri Melaka itu didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejennya yang didapati bersalah terbabit melakukan rasuah sogokan politik.

Ekoran itu, Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan ejennya itu. Mereka  Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil.Manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian yang sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Mohd Ali telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam. Mengikut peraturannya, Lembaga Disiplin Umno hanya membuat cadangan hukuman yang kemudiannya akan disahkan oleh MT.

Ini bermakna MT perlu mengadakan mesyuarat pada bila-bila sekarang untuk memutuskan perkara tersebut, kerana perhimpunan agung Umno akan bermula Selasa depan.

Pada kebiasaannya, MT akan mengadakan mesyuarat sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Tetapi dalam perkembangan terbaru, MT perlulah mempercepatkan mesyuaratnya itu atau mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan rayuan Mohd Ali.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: