PETALING JAYA 20 Mac - UMNO akan hilang kredibilitinya jika membenarkan orang yang didapati bersalah dalam politik wang bertanding pada pemilihan parti itu.
Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika Panel Rayuan parti menerima permohonan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk bertanding pada pemilihan UMNO nanti, ia satu keputusan yang tidak wajar.
"Salah tetap salah, bukan kita tidak boleh mendengar rayuannya tetapi jika keputusan diubah maka ia satu keputusan tidak wajar dan orang akan mempertikaikan keputusan itu," jelasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Wisma Sahoca yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Kelana Jaya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rayuan Mohd. Ali kepada Panel Rayuan berhubung keputusan Lembaga Disiplin mendapatinya bersalah melanggar tata etika parti berhubung politik wang, Selasa lalu.
Bagi Dr. Mahathir, layanan berbeza yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin UMNO ke atas Mohd. Ali Rustam dan calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga boleh dipertikaikan.
Melalui tindakan itu, katanya, UMNO perlu bersedia dengan kemungkinan menghadapi perpecahan atau ditolak rakyat.
"Tindakan itu merendahkan kredibiliti Lembaga Disiplin UMNO.
"Jika UMNO tidak sanggup mengambil langkah yang drastik untuk menunjukkan bagaimana serius usaha membasmi rasuah, saya pasti UMNO akan ditolak pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu orang Melayu ketika ini berada dalam keadaan kritikal dan cemas apabila memikirkan tentang masa depan mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana orang Melayu perlu memikirkan kedudukan dan masa depan mereka selepas melihat perpecahan yang ketara dalam UMNO.
"Jika UMNO yang selama ini menjadi tonggak kekuatan orang Melayu sudah tidak stabil, bagaimana untuk kita nak membawa bangsa kita menghadapi pelbagai cabaran di masa depan," katanya.
Menurut Dr. Mahathir, pelbagai perhimpunan yang dianjurkan membabitkan orang Melayu ketika ini menandakan bahawa kedudukan mereka sudah terjejas dan memerlukan idea untuk memikirkan hala tuju kaum majoriti itu di negara ini.
Katanya, perhimpunan sebegitu merupakan satu alternatif kepada orang Melayu untuk memikirkan kedudukan mereka selepas hilang kepercayaan kepada UMNO.
Tambahnya, apa yang boleh dilakukan ketika ini oleh para pemimpin ialah memikirkan bagaimana cara untuk menghapuskan amalan yang boleh merosakkan orang Melayu.
"Orang Melayu memang sudah tidak bersatu sejak tahun 50-an dulu tapi kita (pemimpin) berjaya menjaga kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini malah dapat mentadbir negara dengan baik," katanya.
Ditanya rasional UMNO dan Pas untuk bersatu demi kepentingan orang Melayu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak nampak penyatuan kedua-dua parti itu akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk negara.
"Kalau bersatu hendak memperkuatkan bangsa dan negara, saya tak nampak UMNO dan Pas boleh bersatu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan