"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dilucut hak bertanding: Rayuan Ali Rustam ditolak

 KUALA LUMPUR: Lembaga Rayuan Umno telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya haknya bertanding jawatan Timbalan Presiden tidak ditarik balik.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin, keputusan tersebut dibuat secara suara.

"Sekiranya Panel Rayuan menerima rayuan Mohd Ali, maka beliau boleh bertanding dalam pemilihan minggu hadapan, tetapi setelah dipertimbang dengan teliti, rayuan Mohd Ali telah ditolak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Rayuan Umno di Menara Dato' Onn, di sini hari ini.

Lembaga Rayuan terdiri daripada 5 ahli panel.

Jelas, Mohd Zuki, rayuan yang dibuat oleh Mohd Ali adalah hanya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin sahaja.

"Rayuan ini ini dipercepatkan untuk kepentingan Mohd Ali," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali boleh mengemukakan rayuan kedua selepas rayuan ini ditolak, beliau berkata keputusan tersebut adalah muktamad.

"Tak ada lagi dah...itulah yang kita putuskan," katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Tiada ulasan: