"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar selar cubaan BN peralat agensi persekutuan jatuhkan kerajaan Pakatan Selangor.


   

KUALA LUMPUR 18 Mac: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar cubaan Kerajaan Persekutuan BN memperalatkan pegawai awam untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah sebuah program bernilai RM52 juta ringgit yang bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap pembangkang. 

Anwar, yang juga  Ketua Umum Keadilan,  berkata program "People Centric'  atau Mesra Rakyat itu dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Selangor di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri.

Anwar mengemukakan dokumen minit mesyuarat mengenai program itu yang membabitkan beberapa agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Pejabat Pembangunan Negeri Selangor dan polis. 

Menurut minit mesyuarat itu, program berkenaan mensasarkan objektifnya sebagai memastikan BN kembali berkuasa di Selangor pada pilihanraya umum ke-13 menerusi beberapa tindakan bagi mendorong rakyat membenci Pakatan Rakyat. 

Program itu juga bertujuan memastikan BN kembali memegang  majoriti dua pertiganya di Parlimen.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan  Persekutuan BN sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti dan imej kerajaan negeri Selangor," Anwar memberitahu Parlimen. 
"Saya menyokong kakitangan kerajaan yang diheret dalam isu ini...mereka tidak boleh diperalatkan hanya kerana politik lemah pihak atasan mereka," tambah Anwar.

Anwar mempersoalkan pembabitan badan seperti SPR dalam mesyuarat itu serta penggunaan agensi seperti ICU untuk memenuhi agenda politik Barisan Nasional.

Ditanya oleh Lim Kit Siang (Ipoh Timur) siapa yang memberikan ICU misi menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, Anwar berkata mesyuarat-mesyuarat ICU selalunya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Amirsham Abdul Aziz yang bertanggung jawab terhadap ICU enggan memberi penjelasan terhadap isu itu walaupun didesak berulang kali oleh wakil-wakil Pakatan Rakyat.

Program untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pertama kali didedahkan pada minggu  lalu di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Adun Kampong Tunku, Lau Weng San ketika itu berkata mesyuarat mengenai program berkenaan  telah diadakan pada 26 Febuari lalu di Pejabat Pembangunan Negeri Selangor. 

  -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: