"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketuanan tentera di Turki berakhir

PELETAKAN jawatan secara serentak empat jeneral paling kanan tentera Turki menandakan berakhirnya era kekuasaan tentera yang sebelum ini terbabit menjatuhkan empat kerajaan negara itu menerusi rampasan kuasa.

Ia juga secara tidak langsung mungkin menamatkan peranan mereka dalam politik Turki, kata penganalisis.

“Golongan lama dalam tentera sudah menyerah kalah,” kata penganalisis, Ahmet Insel, pengarang bersama buku mengenai peranan tentera Turki dalam politik.

“Ia titik perubahan dalam hubungan antara tentera dan politik,” kata Ketua Pengarang akhbar Hurriyet, Murat Yetkin. Beliau bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk mengisytiharkan berakhirnya peranan tentera dalam politik.

Seluruh pegawai pemerintah tertinggi tentera Turki, negara anggota Nato, meletak jawatan Jumaat lalu kerana pertikaian dengan kerajaan berhubung pegawai yang dipenjara kerana dituduh terbabit dalam cubaan rampasan kuasa, episod terbaru dalam pergeseran antara tentera yang mahu mempertahankan dasar sekular dengan kerajaan yang berasaskan fahaman Islam.

Ketua Turus, Isik Kosaner dan panglima tentera darat, udara dan laut, berhenti serentak.

Kosaner meletak jawatan selepas beberapa kali mesyuarat dengan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menjelang persidangan pegawai tertinggi tentera yang dijadual pada bulan ini untuk memutuskan kenaikan pangkat pegawai kanan.

Media melaporkan, ketegangan antara tentera dengan Erdogan berpunca daripada tuntutan pasukan itu untuk kenaikan pangkat puluhan pegawai yang ditahan dalam siasatan berhubung tuduhan cuba menggulingkan kerajaan yang diketuai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), kumpulan serpihan kecil daripada pergerakan Islam yang diharamkan.

Kira-kira sepersepuluh daripada keseluruhan jeneral dalam angkatan tentera Turki berada di penjara kerana didakwa terbabit dalam rancangan menggulingkan kerajaan pada 2003 yang digelar ‘Operasi Sledgehammer.’ Operasi berkenaan dirancang sejurus AKP mula berkuasa.

Suspek berdepan dengan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun meskipun kes itu dicemari dengan kesangsian serius berhubung kesahihan beberapa dokumen yang berkait dengan kes itu.

Dengan meletak jawatan, keempat-empat jeneral itu secara tersirat menerima tuduhan itu berasas.

Ketegangan antara pemimpin politik dan tentera negara itu semakin meningkat sejak beberapa tahun dan penganalisis berkata, AKP, yang memerintah sejak 2002, mungkin bertambah berani dengan kemenangan pada pilihan raya Jun lalu yang menyaksikan parti itu mencapai kemenangan terbaiknya dalam sejarah.

“Peletakan jawatan secara beramai-ramai Jumaat lalu adalah kesan daripada pilihan raya Jun lalu terhadap hubungan antara kerajaan dengan tentera,” kata penulis pojok, DerJya Sazak, dalam akhbar Milliyet Sabtu lalu.

“Krisis itu adalah keputusan yang tidak boleh dielakkan mengenai perebutan kuasa antara tentera dan kerajaan yang berlarutan sejak 2007,” kata Sazak.

Undi Parlimen pada 2007 menyaksikan calon AKP, Abdullah Gul dipilih menjadi presiden meskipun mendapat bantahan keras daripada tentera yang melihat pejabat presiden sebagai jaminan utama terhadap fahaman sekular negara itu.

Sejarah politik Islam Gul dan keengganan isterinya menanggalkan tudung menyebabkan tentera menggunakan pengaruhnya untuk menyekat pemilihan Gul menjadi presiden.

Ia mendorong AKP mengadakan pilihan raya umum mengejut yang menyaksikannya menang dengan peratusan undi lebih banyak, sekali gus membuka jalan kepada kemenangan mudah Gul.

“Kerajaan tidak mahu bekerjasama dengan panglima yang cuba menggantung pemilihan presiden dan dengan mereka yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa. Ia mahu menyingkirkan mereka,” kata Sazak.

Beberapa penganalisis mengalu-alukan peletakan jawatan empat jeneral kanan itu dengan menyifatkannya sebagai pendemokrasian lebih luas negara itu.

“Kejadian rampasan kuasa di Turki sudah hampir berakhir. Turki kini menuju ke arah demokrasi dan hampir menamatkan ketuanan tentera,” kata Ahmet Altan, Ketua Pengarang akhbar Taraf. Akhbar itu yang bertanggungjawab menyiarkan cerita mengenai rancangan rampasan kuasa 2003.

Bagaimanapun, beberapa yang lain masih berhati-hati untuk mengesahkan ketegangan antara kerajaan dengan tentera sudah berakhir. Tentera Turki melakukan rampasan kuasa pada 1960, 1971 dan 1980. Pada 1997, ia mengetuai kempen yang memaksa peletakan jawatan kerajaan parti Islam pertama yang diketuai mentor Erdogan, Necmettin Erbakan.

“Sehingga kes ‘Sledgehammer’ ini yang sudah berlarutan selama beberapa tahun berakhir, hubungan kerajaan dengan tentera akan sentiasa tegang,” kata Sedat Ergin, penulis pojok akhbar Hurriyet.

“Yang menjadi masalah ialah jika pegawai itu didapati tidak bersalah dan dibebaskan,” katanya. 
-AFP/hmetro-

Tiada ulasan: