"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Rosti letak jawatan ekoran Siasatan Dalaman

Harakahdaily
SHAH ALAM, 4 Ogos: Perletakan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) adalah berpunca dari Siasatan Dalaman (Internal Inquery) yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor ekoran laporan ketidakcekapan dan tidak profesional sesetengah pegawainya.

Namun begitu, Naib Canselor Unisel itu 'tidak mampu bekerjasama' dengan semua timbalan Presiden Unisel bagi melaksanakan segala resolusi yang dicapai dari siasatan dalaman itu.


Ekoran itu, Exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku pengerusi Unisel telah memberikan tempoh dua minggu untuk naib canselor untuk bekerjasama bagi kebaikan Unisel.


"Kesemua Timbalan Presiden bersetuju dengan cadangan MB. Akhirnya naib canselor tidak sanggup," kata Dr Halimah dalam smsnya kepada Harakahdaily.


Datuk Dr Rosti Saruwono mengumumkan perletakan jawatannya dari Unisel semalam. MB Selangor pula telah menerima perletakan jawatan itu dan telah melantik satu pasukan khas.


Ia ditubuhkan bagi meneliti permasalahan dalam pengurusan Unisel berhubung perletakan jawatan secara mengejut oleh Rosti.


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pasukan khas itu akan dikemudi oleh tiga individu yang berkelayakan bagi memastikan Unisel terus berkembang maju.


“Bagi memastikan peletakan jawatan ini tidak menggangu pembangunan Unisel dan usaha menjadikan universiti tersebut sebagai salah satu universiti terbaik Malaysia, Kerajaan Negeri telah memberi tugasan kepada sebuah jawatankuasa.


“Jawatankuasa ini terdiri daripada Datuk Muhamad Zohadie Bardaie, Datuk dnan Alias dan Datuk Mohamed Ariffin Aton.


“Semua mereka ini ahli lembaga pengarah Unisel,” katanya dalam satu kenyatan akhbar.


Sementara itu, media melaporkan, ada tiga individu yang dikatakan mempunyai masalah dengan Unisel.


Mereka adalah Pendaftar, Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah


Rokmaa Mat adalah ibu saudara kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Beliau dikira antara individu terpenting yang menjaga pentadbiran Unisel.


Ketiga-tiga orang ini telah disiasat oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Mesyuarat Exco Selangor.


Dikatakan laporan dari jawatankuasa itu membuktikan terdapat banyak kes ketidahcekapan dan tidak profesional dalam tindakan.

Tiada ulasan: