SAFAR JUMAAT
TINDAKAN Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengarahkan peguam memfailkan saman terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM), ekoran kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Saleh Mat Rashid adalah satu keputusan yang cukup baik."Jumpa di mahkamah" sebenarnya lebih tepat daripada berbahas dalam akhbar yang tidak ada kesudahan. Polis mungkin mendapat kerjasama erat dari media arus perdana dan RTM1, manakala Mohamad Sabu hanya mengharapkan simpatisan dari blogger yang sedia bekerjasama dengannya selain Harakah.
Polis dilihat agak tergopoh gapah sedikit dalam isu ini, ekoran desakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meminta, jika polis ada rakaman video, tayangkan segera. Sebelum ini, perbahasan keganasan polis dalam menyelesaikan isu Himpunan Bersih 2.0 hanya berlegar dalam youtube dan tuduh menuduh yang dilihat berat sebelah.
Barangkali polis belum bersedia untuk menayangkannya tetapi disebabkan TPM Muhyiddin sudah mendesak, tak semena-mena video/rakaman tersebut ditayangkan termasuk ulasan polis yang mendakwa Mohamad Sabu berbohong atas dakwaan kenderaan polis melanggarnya.
Nasib baiklah ada media yang mahu menyiarkan kenyataan-kenyataan polis mengenai cara mereka menyuraikan perhimpunan tersebut. Jika tidak, di mana agaknya saluran polis hendak sampaikan maklumat ini?
Eloklah, jika Suhakam mengambil peranan mengadakan pendengaran awam dalam isu ini kerana imej polis akan terjejas sekiranya dalam isu Mohamad Sabu, ternyata memang berlaku pelanggaran yang didkawa Mohamad Sabu.
Walaupun rakaman video polis tidak menampakan imej atau rakaman kenderaan polis, yang Mohamad Sabu dakwa, sebuah kereta Waja, sepatutnya Saleh Mat Rashid mendapatkan laporan penuh dari anggota yang bertugas sebelum bercakap berdasarkan apa yang dilihatnya dalam rakaman tersebut.
Kalau Mohamad Sabu benar dan hasil siasatan dijalankan menunjukkan memang Mohamad sabu dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis Waja kepunyaan polis, alangkah malunya PDRM untuk berdepan isu ini?
Tepatlah dakwaan mengatakan polis terlalu mengikut kata tuan mereka tanpa bersikap adil, telus dan cekap.
Tetapi kalau ternyata pihak polis benar dan hasil siasatan menunjukan Mohamad Sabu memang terjatuh selepas motosikal yang ditumpanginya terlanggar pembahagi jalan, Mohamad Sabu harus menerima kesan dan akibat dari dakwaannya itu.
Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 sebenarnya memperlihatkan betapa kelam-kabutnya tindakan polis untuk menangani isu tersebut.
Bermula dengan pelbagai amaran, tangkapan di bawah Ordinan Darurat dan pengisytiharan Bersih sebagai kumpulan haram menimbulkan banyak persoalan.
Khidmat polis sebenarnya sentiasa disanjung oleh rakyat Malaysia. Selama ini, telah terbukti bahawa PDRM berada di mana-mana sahaja ketika rakyat memerlukannya.
Tetapi, apabila berlaku isu seperti sekarang, dengan kenyataan-kenyataan yang bernada amaran seperti kenyataan politik, rakyat tertanya-tanya, apakah polis bertindak atas isu keselamatan atau atas kehendak tangan-tangan ghaib seperti dakwaan Mohamad Sabu, atas permintaan tuan mereka.
Tiada siapa mahu polis dicaci dan disangsikan niat mereka menjaga keselamatan. Tetapi polis itu dianggotai oleh manusia. Sesetengahnya, apabila sudah bersara, berada di dalam parti pembangkang dan menceritakan pengalaman masing-masing ketika bertugas.
Malahan, ada yang terpilih bertanding atas tiket parti pembangkang dan dari cerita-cerita mereka ini, banyak perkara yang selama ini tidak terdedah, kini sudah menjadi rahsia umum.
Yang menyebelahi kerajaan, berpendirian seperti orang kerajaan tetapi bila mereka tidak bersama kerajaan, pandangannya berbeza.
Dari cakap-cakap seorang dua dari Persatuan Bekas Polis, Umno dan BN kena berubah jika mahu kekal berkuasa. Jika mereka tidak berubah, nescaya mereka akan ditolak dalam PRU 13 akan datang. BN tidak ada pilihan kedua, berubah atau rebah, kata mereka.
Hari ini, polis terpaksa sibuk dengan isu Himpunan Bersih 2.0. Belum lagi Suhakam tampil selepas pendengaran awamnya. Sedikit sebanyak keyakinan rakyat terhadap pasukan polis terjejas dengan pelbagai pendedahan yang dibuat selain dari kenyataan-kenyataan polis yang menjadi pertikaian mereka yang menyertai Himpunan Bersih 2.0.
Hari ini, cara polis menggunakan gas pemedih mata pun sudah mula dipertikaikan. Peguam Latheefa Koya pula mendakwa gas pemedih mata yang digunakan polis sama dengan gas pemedih mata yang digunakan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
Begitu jauh perginya isu ini sedangkan selama ini, gas pemedih mata adalah alat paling ringan yang digunakan untuk tujuan menyuraikan satu-satu perhimpunan dan rusuhan.
Hilanglah cerita polis menyediakan makan dan tempat sembahyang bagi mereka yang ditahan ketika Himpunan Bersih 2.0. Khabarnya anggota polis sendiri tidak bersetuju dengan penyediaan makanan yang berharga RM25 setiap orang yang ditahan dan dalam masa yang sama, anggota polis yang bertugas diberikan nasi bungkus polestrin yang berharga RM3 seorang.
Ketika Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada orang ramai agar jangan mencaci polis, ramai yang melihat bahawa polis seperti tidak termampu melawan serangan orang ramai yang mempertikaikan ketegasan polis menangani isu ini.
Cakap-cakap Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato' Seri Hishammuddin Hussein menjadi bahan ejekan dari kalangan Umno sendiri termasuk Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin menempelak Hishammuddin dengan kata-kata, "dia boleh memberi berapa banyak amaran pun tetapi Patriot tetap akan turun berdepan dengan Bersih 2.0".
Setakat ini, yang patuh kepada nasihat polis hanyalah sebuah NGO yang cakapnya berdegar-degar, tetapi ekor bergelumang tahi, Perkasa. Ketika mereka meminta orang Cina membeli bekalan makanan untuk persiapan Himpunan Bersih 2.0 yang bakal ditentangnya, rupa-rupanya mereka (Perkasa) membeli beberapa tin sardin untuk dibuat sandwich dan berkelah di Tasik Titiwangsa.
Itupun bilangan yang hadir berkelah tak ramai. Yang lain-lainnya, khabarnya membeli selimut dan mereka berselimut di rumah dengan alasan mematahi arahan polis. Tidak pula diketahui, apakah mereka (Perkasa) akan menerima anugerah khas sempena Hari Polis nanti kerana kepatuhan mereka ini.
Jangan sesiapa menuduh mereka (Perkasa) penakut kerana mereka berjanji akan menjengkal muka Dato' S. Ambiga, berdepan dengan sesiapa sahaja yang mendalangi Himpunan Bersih 2.0 kerana mereka "patuh dan akur" dan bukan takut. Cuma, mungkin mereka kurang berani tetapi tidak takut.
Ketika Perkasa menjadi bahan ketawa orang ramai ketika ini, polis pula menjadi topik perbincangan hangat, apakah mereka benar-benar bertindak atas faktor keselamatan atau, dalam keadaan serba salah.
Tindak-tanduk polis tidak menampakkan polis bertindak sendirian melainkan seperti kata Mohamad Sabu, mereka mendengar kata tuan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan